Sunday, June 7, 2015

Cai Lin buat kem renang negara suram

Welson Wee (kanan) bersama Hoang Quy Phuoc (tengah) dan Quah Zheng
Welson Wee (kanan) bersama Hoang Quy Phuoc (tengah) dan Quah Zheng Wen dalam majlis penyampaian pingat acara renang Sukan SEA di Singapura semalam. UTUSAN

SINGAPURA - Hajat besar untuk melihat pingat emas mampu disumbangkan oleh ratu renang jarak sederhana negara Khoo Cai Lin tidak kesampaian apabila dia terpaksa menarik diri daripada acara 800 meter gaya bebas akhir wanita serta gagal menamatkan saringan 400 meter rampaian di Pusat Akuatik OCBC semalam di­sebabkan masalah tonsil.

Hanya Welson Wee menceriakan kem renang negara apabila meraih pingat gangsa dalam acara 200 meter gaya bebas lelaki sementara atlet-atlet lain satu persatu tumbang dek kuakan hebat perenang Vietnam, Singapura dan Thailand.

Mencatat satu minit, 50.73 saat, Welson terpaksa akur terhadap kehebatan perenang Viet­nam, Hoang Quy Phuoc yang mencatat 1:48.96s untuk memecahkan rekod bekas jaguh renang Malaysia, Daniel Bego yang bertahan sejak Sukan SEA Laos 2009.

Pingat perak pula dimiliki Zheng Wan Quah dari Singapura yang hanya ketinggalan 0.21 saat di belakang perenang Vietnam itu.

Welson berkata, dia tetap gembira dengan pencapaian pingat gangsa memandangkan dia perenang paling muda berbanding peserta-peserta lain dan mengharapkan tuahnya akan lebih baik dalam Sukan SEA akan datang.

“Saya tetap gembira dengan pi­ngat yang saya menangi pada hari ini kerana catatan masa saya masih baik. Saya juga yang paling muda berbanding dengan peserta lain.

“Saya tahu rekod Daniel Bego te­lah dipecahkan namun saya tidak berasa sedih kerana perkara ini adalah normal kerana perenang semakin pantas tetapi saya sedia memecahkannya kembali pada masa depan.

“Ini pertama kali saya berjaya masuk ke dalam senarai akhir Sukan SEA dan harap pengalaman ini mampu membuatkan saya bekerja lebih keras untuk Sukan SEA akan datang. Sasaran saya kini ialah acara seterusnya iaitu 400 meter gaya bebas,” katanya.

Kem renang ternyata cukup suram kerana menyedari salah satu sasaran untuk mendapatkan emas berkubur melalui Cai Lin yang merupakan juara dua kali berturut-turut untuk acara 800 meter gaya bebas wanita.

Prestasi perenang-perenang negara yang lain tidak begitu memberangsangkan terutama Angela Chei yang berada di tempat ter­akhir 800 meter gaya bebas wanita manakala Tern Jian Han menduduki tempat kelima dalam acara 100 meter kuak lentang lelaki.

Wong Fu Kang pula sekadar mengakhiri cabaran di tangga kelima dalam acara 200 meter kuak dada lelaki. 

Sumber: UTUSAN

No comments:

Post a Comment