Sunday, June 7, 2015

Terjun ke lombong emas

(dari kanan) Cheong Jun Hoong, Ooi Tze Liang,  Chew Yi Wei dan
Cheong Jun Hoong, Ooi Tze Liang-Chew Yi Wei tiada pencabar di Sukan SEA 2015

SINGAPURA - Sukan terjun membayangkan akan terus menjadi lombong emas kepada kontinjen negara dalam Sukan SEA 2015 apabila meraih dua pingat emas dalam acara 3 meter papan anjal wanita melalui Cheong Jun Hoong sebelum kecemerlangannya diteruskan oleh gandingan Ooi Tze Liang-Chew Yi Wei dalam acara 10 meter platform seirama lelaki di Pusat Akuatik OCBC semalam.


Dalam temasya dua tahun lalu di Myanmar, skuad terjun negara menyapu bersih kesemua lapan pingat emas yang dipertandingkan, dan kemenangan dua emas semalam seharusnya menjadi permulaan tepat untuk mereka mengulanginya.

Malaysia turut mengusai pingat perak acara 3 meter papan anjal wanita semalam menerusi Ng Yan Yee, sekali gus membuktikan keunggulan negara sebagai kuasa acara terjun di rantau Asia Tenggara.

Baharu sahaja pulang dari Kejohanan Siri Dunia di Mexico, Jun Hoong tidak menafikan yang dia merasai sedikit tekanan tetapi berjaya fokus terhadap terjunannya untuk memastikan Malaysia meraih emas.

“Walaupun saya sedar rakan sepasukan (Yan Yee) memberikan saingan serta mampu mencabar saya, saya hanya fokus kepada persembahan saya dan cuba mempertahankan kemenangan yang saya menang di Myanmar dua tahun lalu.

“Saya enggan memikirkan perkara lain sebaliknya fokus terhadap persembahan saya agar tidak berlaku sebarang kesilapan,” katanya.

Jun Hoong mengumpul 349.65 mata, jauh meninggalkan Yan Yee yang mengutip 309.20 mata. Penerjun tuan rumah Fong Kay Kian meraih gangsa dengan 258.90 mata.

Rentak yang dipamerkan oleh Jun Hoong begitu konsisten apabila mencatat 72.00 mata menerusi terjunan pertama sebelum mengakhirinya dengan catatan 73.95 mata yang meletakkan dia dalam kelas tersendiri berbanding penerjun lain.

Tze Liang dan Yi Wei juga tidak berdepan dengan saingan kuat ketika mengungguli 10 meter platform seirama lelaki apabila mengumpul 404.37 mata keseluruhan untuk mengetepikan pasangan Indonesia, Andriyan-Adityo Restu Putra dan Theerapat Siribon-Yo Junthapadawon dari Thailand.

Pingat emas semalam menjadi sesuatu yang manis kepada Yi Wei kerana kali pertama merangkulnya setelah tiga penyertaan dalam Sukan SEA. Pencapaian terbaiknya sebelum ini ialah di tempat ketiga dalam acara 3 meter papan anjal ketika Sukan SEA Myanmar.

“Memang saya rasa sangat gembira dengan pencapaian ini dan sasaran saya mahu mengekalkan rentak konsisten biarpun saya mengakui ini bukanlah persembahan terbaik daripada kami berdua.

“Namun, latihan insentif di China selama sebulan ternyata banyak membantu kami dan saya harap emas ini dapat menambah semangat saya untuk beraksi dengan lebih baik dalam acara 10 meter platform individu pada Isnin nanti,” katanya.

Sumber:UTUSAN

No comments:

Post a Comment