Sunday, June 14, 2015

'Boy' Hadiahkan Pingat Emas Kepada Ibu

SINGAPURA, 14 Jun (Bernama) -- Pesilat negara, Muhammad Faizul M.Nasir yang lebih dikenali sebagai 'boy' oleh keluarga dan rakan-rakan menghadiahkan pingat emas yang dimenanginya pada Sukan SEA ke-28 hari ini, kepada ibunya.

Pada aksi final yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Singapura, pesilat berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu meraih pingat emas dalam acara Putra Kelas B (50-55kg) setelah ketua pengadil membatalkan penyertaan pesilat Thailand, Nanthachai Khansakon.

Penyertaan pesilat Thailand itu dibatalkan setelah beliau melakukan 'gerakan berat' yang menyalahi peraturan perlawanan.

Pingat gangsa pula menjadi milik Aprin Ardianto dari Indonesia dan Duy Phuong Vo dari Vietnam.

Muhammad Faizul berkata beliau menghadiahkan pingat tersebut kepada ibunya, Inang Zuarmi Amir kerana itu adalah kali pertama ibunya datang ke Singapura dua hari lepas, bagi memberi sokongan moral kepada beliau.

"Sebelum ini ibu tidak pernah datang melihat saya beraksi kerana tidak sanggup melihat saya cedera," katanya dalam nada sebak.

Beliau juga berkata kejayaan hari ini adalah hasil sokongan rakan-rakan serta jurulatih yang banyak memberi semangat kepadanya.

Muhammad Faizul berkata akibat menerima serangan di bahagian bawah perut, beliau masih berasa sakit.

"Balik ke Malaysia, saya akan terus mendapatkan rawatan di Institut Sukan Negara (ISN)," katanya.

Sumber -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment