Sunday, June 14, 2015

Mohd Harrif Pamer Aksi Mantap Tambah Satu Lagi Pingat Emas

SINGAPURA, 14 Jun (Bernama) -- Pelumba berbasikal lebuh raya negara, Mohd Harrif Salleh berada dalam kelas tersendiri apabila meraih pingat emas peribadi kedua pada hari terakhir acara berbasikal Sukan SEA 2015 di Marina Bay South, di sini hari ini.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu yang meraih pingat emas pertama dalam acara kriterium semalam, sekali lagi menampilkan 'kayuhan emas' dalam acara perlumbaan lepas beramai-ramai hari ini.

Melintasi garisan penamat dalam kelompok, Mohd Harrif bersama 26 pelumba lain mencatat masa yang sama iaitu 3 jam 19 minit dan 33 saat.

Pelumba Vietnam, Le Van Duan meraih pingat perak manakala seorang lagi wakil negara, Anuar Manan memenangi pingat gangsa.

Ketika ditemui pemberita, Mohd Harrif melahirkan rasa syukur kerana berjaya meraih dua pingat emas selepas kali terakhir beraksi pada edisi 2011 di Indonesia, sambil berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana membantu beliau untuk mencatat kejayaan cemerlang pada temasya sukan dwitahunan itu kali ini.

"Syukur Alhamdulillah kerana saya berjaya meraih dua pingat emas pada kali ini dan kejayaan ini turut dibantu oleh rakan sepasukan.

"Perlumbaan hari ini agak sengit terutama pada empat kilometer terakhir dengan setiap pelumba cuba memisahkan diri daripada kelompok pelumba.

"Kami semua kembali bergabung ketika itu sebelum rakan sepasukan memberi peluang kepada saya untuk membuat pecutan pada satu kilometer terakhir menuju ke garisan penamat," kata pelumba kelahiran Kampung Ladang Titian, Kuala Terengganu itu.

Semalam, skuad berbasikal negara turut meraih dua pingat gangsa menerusi Nurul Suhada Zainal dalam acara perlumbaan lebuh raya lepas beramai-ramai wanita dan Ju Pha Som Net dalam acara kriterium wanita.

Pencapaian kali ini, sekali gus memperbaiki kegagalan skuad lebuh raya negara yang sekadar meraih satu pingat perak dan satu gangsa pada edisi 2013 di Myanmar.

Sumber -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment