Sunday, June 14, 2015

Angkara rantai

JU Pha memperlahankan kayuhan selepas rantai basikalnya terjatuh.

Insiden kemalangan pada 300 meter terakhir sebelum penamat acara berbasikal lepas beramai-ramai lebuh raya wanita semalam menjejaskan impian pelumba negara merangkul emas apabila Nurul Suhada Zainal sekadar berjaya menamatkan kedudukan di tangga ketiga.

Ketika harapan Malaysia meraih emas disandarkan kepada Ju Pha Som Net untuk menamatkan kemarau pingat sejak kali terakhir dimenangi Nor Azian Alias pada Sukan SEA Manila 2005 tidak kesampaian apabila pelumba itu mengalami kerosakan pada basikalnya ketika cuba mengelak daripada terbabit dengan kemalangan dan Nurul Suhada muncul penyelamat bagi mengelak daripada pulang tangan kosong.

Nurul Suhada yang pada mulanya membantu Ju Pha untuk berada di kedudukan terbaik sebelum memecut ke garisan penamat terpaksa bergerak sendiri selepas melihat rakannya mengalami masalah namun dia hanya terdaya menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 2 jam 49 minit 43 saat dalam perlumbaan sejauh 94.5 kilometer itu.

Pingat emas milik pelumba Vietnam, Nguyen Thi That dengan catatan masa 2’49:42s selepas kemenangan pelumba Thailand, Jutatip Maneephan dibatalkan pengadil kerana melakukan kekasaran ke atas pelumba Vietnam itu ketika pecutan ke garisan penamat memaksanya terpaksa berpuas hati dengan perak.

Bagi Nurul Suhada, 22, yang hanya kembali berlatih sepenuh masa Mac lalu selepas tamat kursus anggota polis selama lebih setahun gembira dengan pencapaian itu meskipun misi sebenar tidak tercapai.

“Strategi kami adalah berada dalam kelompok besar ke garisan penamat tapi disebabkan kemalangan yang berlaku kira-kira 300 meter terakhir menjejaskan strategi kami.

“Saya terdengar ada kemalangan di belakang dan Ju Pha pula tersangkut di situ lalu saya membuat keputusan untuk terus memecut namun gagal memintas pelumba Vietnam dan Thailand.

“Tapi saya tetap bangga dengan pingat gangsa ini kerana ia membuktikan kami juga mampu menyumbang pingat,” katanya yang tampil dalam Sukan SEA kedua selepas gagal meraih sebarang pingat di Myanmar dua tahun lalu.

Sementara itu bagi Ju Pha yang meraih gangsa acara kriterium wanita kelmarin kecewa dengan nasib malang menimpanya.

“Saya memang kecewa sebab rantai basikal jatuh selepas dilanggar sesuatu ketika cuba mengelak daripada kemalangan itu.

“Memang saya yakin untuk mengatasi pelumba Thailand dan Vietnam kerana dalam kedudukan terbaik untuk melakukan pecutan terakhir,” katanya yang sekadar menamatkan perlumbaan di tangga ke-12 daripada 15 pelumba.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment