Wednesday, June 17, 2015

ACA Minta Malaysia Anjur Semua Kategori Acara Berbasikal Pada Sukan SEA 2017

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Kongres Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) mendesak Malaysia menganjurkan semua kategori acara berbasikal termasuk acara lebuh raya, trek, BMX dan berbasikal bukit (MTB) pada temasya Sukan SEA ke-29 pada 2017.

Presiden ACA, Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata usul tersebut telah dibawa oleh beberapa negara anggota termasuk Thailand, Indonesia dan Vietnam dan diluluskan sebulat suara pada Kongres ACA di Singapura, minggu lepas.

"Thailand telah mendesak Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2017 agar kembali menjadikan lebuh raya, trek, BMX dan MTB sebagai acara wajib pada temasya di Kuala Lumpur. Usul tersebut kemudian dipanjangkan lagi oleh Vietnam dan Indonesia.

"Malah Myanmar menjelaskan bahawa ia turut menjadikan acara lebuh raya, BMX dan MTB sebagai acara pingat di Nay Pyi Taw pada 2013," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abu Samah berkata ACA akan menulis kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berhubung perkara itu untuk dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan.

Menurutnya, jika usul itu diterima oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA 2017, dijangka sebanyak 18 pingat emas bakal dipertandingkan dan tuan rumah berpeluang meraih sekurang-kurangnya tujuh daripadanya.

Dalam pada itu, Abu Samah, yang juga Presiden PKBM, turut memuji persembahan keseluruhan pasukan kebangsaan negara yang meraih lima pingat iaitu dua emas serta tiga gangsa dan berharap pencapaian tersebut akan diteruskan pada Sukan SEA 2017.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment