Sock Khim meraih pingat perak selepas bersaing sengit sebelum tewas dalam saingan akhir kepada lawan dari Thailand, Suthasini Sawettabut de­ngan keputusan 11-7, 5-11, 8-11, 11-9, 6-11, 11-9, 4-11.

Pingat gangsa dikongsi oleh dua pemain dari Vietnam, Hoang My Trang Mai dan Thi Nga Nguyen yang kecundang dalam separuh akhir.

Sock Khim jelas begitu kecewa kerana gagal meraih pingat emas setelah hampir melakukannya semalam apabila berjaya mengheret lawan sehingga ke set ketujuh.
“Saya banyak melakukan kesilapan hingga menyebabkan lawan mudah mendapatkan mata dalam perlawanan yang cukup mencabar itu.

“Thailand mempunyai ke­lebihan dalam perlawanan itu kerana mempunyai pemain muda yang hebat,” kata Sock Khim.

Kali terakhir Sock Khim menyertai Sukan SEA ialah pada 2007 di Korat, Thailand dan selepas itu tidak dapat menyertai temasya tersebut kerana kece­deraan lutut.

Di Korat, Sock Khim berjaya menamatkan kemarau 14 tahun tanpa pingat buat negara selepas menghadiahkan pingat perak menerusi acara yang sama.

Perak yang diraih semalam merupakan pingat kedua dimenangi skuad pingpong negara dalam edisi kali ini setelah meraih gangsa menerusi beregu wanita Ho Ying-Lee Rou You. 


Sumber:UTUSAN