Monday, May 18, 2015

Olahragawan, Olahragawati Melaka tekad sumbang Emas pada Sukan SEA

MELAKA, 16 Mei (BERNAMA) -- Olahragawan dan Olahragawati Negeri Melaka Sesi 2013/2014 bertekad untuk menyumbang pingat emas kepada negara dalam acara wushu pada Sukan SEA di Singapura bulan depan.

Ho Mun Hua dan Ng Shin Yii berkata mereka kini giat melakukan latihan secara intesif di Bukit Jalil dan baru selesai menjalani latihan bersama kira-kira 20 atlet sukan wushu negara selama sebulan di China.

Ho, 26, yang berasal dari Machap Baru, Alor Gajah dekat sini berkata beliau akan mengambil masa sebelum menyertai Sukan SEA ini untuk meningkatkan latihan serta memastikan stamina dan kesihatannya berada dalam keadaan terbaik.

"Saya amat gembira dengan anugerah ini dan saya berharap dapat menyumbangkan lebih banyak pingat untuk negara terutamanya Sukan SEA bulan depan seterusnya akan terus mengharumkan nama Melaka," katanya.

Ho dan Ng ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka 2013/2014 di sini malam tadi yang disampaikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob serta turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Ho telah menceburi sukan wushu sejak 10 tahun lepas dan pernah beraksi pada Sukan SEA sebanyak tiga kali dengan kejayaan tiga pingat perak dan satu gangsa.

Sementara itu, Ng, 26 dari Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, Alor Gajah dekat sini berkata beliau tidak menyangka akan dinobatkan sebagai Olahragawati Melaka 2013/2014 dengan saingan sengit daripada atlet lain dan berharap ia akan menjadi pembakar semangat untuk beraksi cemerlang pada Sukan SEA nanti.

"Saya berasa amat terkejut kerana tidak sangka akan mendapat anugerah ini tetapi pada sama berasa gembira, terima kasih kepada negeri Melaka yang memberikan anugerah ini.

"Saya telah bersiap sedia dan akan berjuang sepenuh jiwa untuk Malaysia pada Sukan SEA ini," katanya yang telah 13 tahun berkecimpung dalam sukan wushu dan empat kali beraksi dalam Sukan SEA dengan pencapaian empat pingat perak.

Pada majlis itu, Badrul Hisyam Abdul Manap daripada sukan olahraga dan Loh Ying Ting dari sukan wusyu dinobatkan masing-masing sebagai olahragawan dan olahragawati harapan Melaka.

Sementara pasukan bola keranjang dianugerahkan pasukan terbaik lelaki negeri Melaka manakala pasukan terbaik wanita dimenangi pasukan polo air.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment