Monday, May 18, 2015

Muhammad Fauzan intai peluang raih pingat Sukan SEA 2015


PETALING JAYA, 16 Mei (Bernama) -- Setelah pulih daripada kecederaan tangan, pelumba berbasikal lebuh raya negara, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi mengintai peluang untuk meraih pingat pada Sukan SEA 2015 di Singapura, bulan depan.

Pelumba kelahiran Pulau Pinang itu sebelum ini terpaksa berehat selama sebulan setelah tangan kanannya patah ketika menjalani latihan persediaan bagi menghadapi Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi 2015 (LTdL 2015) yang berakhir 15 Mac lepas.

"Saya tidak letakkan harapan tinggi untuk meraih pingat, begitu juga dengan PKBM (Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia). Saya akan cuba bantu pasukan negara bawa balik pingat daripada acara lebuh raya atau kriterium," katanya.

Muhammad Fauzan berkata demikian kepada pemberita selepas menerima tajaan produk suplemen tambahan 'First Endurance' daripada syarikat berbasikal, Bike Tech Subang, di sini, hari ini.

"Pada mulanya saya berhasrat menarik diri daripada Sukan SEA tetapi Presiden PKBM (Datuk Abu Samah Abd Wahab) berharap saya dapat menyertainya. Prospek pingat itu untuk diri saya mungkin lebih kepada acara ujian masa individu," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Operasi Bike Tech Subang, Mohd Sayuti Mohd Zahit berkata penajaan berkenaan adalah bagi tempoh setahun namun tidak menolak bantuan wang tunai akan turut diberikan sekiranya atlet terpilih meraih keputusan cemerlang dalam beberapa kejohanan tempatan dan antarabangsa.

"Insya-Allah, kalau semuanya berjalan lancar, kita akan memberikan produk dan wang tunai kepada atlet terlibat," katanya.

"Buat masa ini, kita fokus kepada atlet berbasikal dan triathlon dahulu tapi untuk jangka masa panjang, kita akan taja atlet sukan lain," kata Mohd Sayuti yang juga bekas pelumba berbasikal negara.

Selain Muhammad Fauzan, syarikat berkenaan turut menaja lima atlet lain iaitu Muhammad Hafiz Wong Abdullah, Muhammad Tareef Azfar Zakaria, Nik Lini Hayati Nik Kazim dan Mohamad Allie Helmy Sabtu (kesemuanya atlet triathlon) dan pelumba berbasikal negara, Muhammad Adiq Husainie Othman.

Acara berbasikal Sukan SEA 2015 akan berlangsung daripada 11 hingga 14 Jun ini di South Marina Bay, Singapura, melibatkan enam kategori iaitu ujian individu masa (ITT) lelaki dan wanita; kriterium lelaki dan wanita serta perlumbaan lebuh raya lelaki dan wanita.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment