Thursday, May 7, 2015

NAAM bentuk skuad terbaik




PERSATUAN Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) bertekad menyediakan skuad terbaik bagi menghadapi pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2016 Rio de Janeiro, Brazil di Denmark pada Ogos depan.

Namun, bagi melakukan persediaan menghadapi pusingan kelayakan tersebut, skuad memanah negara akan beraksi pada Sukan SEA 2015 di Singapura, Jun depan bagi menguji prestasi mereka sebelum berangkat ke Denmark nanti.

Setiausaha NAAM, Mohd. Yazid Yahya berkata, misi utama yang perlu diberi fokus pada tahun ini adalah pusingan kelayakan Olimpik Rio yang akan berlangsung di Denmark.

Katanya, Sukan SEA di Singapura merupakan salah satu medan pemanas badan buat pemanah negara dan dari situ pihak NAAM akan menilai segala kelemahan yang ada. 

“Buat masa ini, prestasi atlet negara agak ketinggalan jauh berbanding negara lain dan sebab itu kita perlu memberi lebih banyak pendedahan kepada mereka sebelum memulakan kempen kelayakan Sukan Olimpik nanti.

“Persatuan telah merangka beberapa strategi yang perlu dicapai, terutamanya dalam misi memburu tiket ke Sukan Olimpik. Namun, kita juga tidak melepaskan peluang beraksi pada Sukan SEA yang akan berlangsung Jun nanti.

“Kita tidak meletakkan sasaran pingat pada Sukan SEA, namun perkara yang paling penting ketika bertandang di Singapura itu nanti adalah untuk menimba pengalaman.

“Apa yang saya mahukan, pengalaman dari segi fizikal mahupun mental yang diperoleh di Singapura nanti harus dijadikan bekalan untuk kejohanan kelayakan Sukan Olimpik 2016 di Denmark nanti.
Katanya, pihaknya telah membuat persediaan awal bagi menghadapi Sukan SEA dan Olimpik dengan menghantar skuad memanah kategori recurve ke Korea Selatan bagi menjalani latihan.

“Kami belajar daripada kesilapan lalu yang mana latihan pusat dijalankan agak lewat dan mendapati pasukan gagal bersedia dengan sebaiknya. Jadi, kami berharap latihan seawal bulan Februari sehinggalah menjelang Sukan SEA akan lebih membuatkan mereka lebih bersedia.

“Saya yakin dengan kemampuan pemanah lelaki negara terutama bagi acara compound, mereka mampu memberikan pingat dalam acara berpasukan,” jelasnya.

Tambahnya, pada aksi kelayakan Olimpik di Denmark nanti, pihaknya mengharapkan para pemanah negara mampu melangkah ke peringkat suku akhir.

“Jika kita melepasi peringkat suku akhir, ia sudah memadai buat pasukan kerana lapan negara yang berjaya mara ke peringkat tersebut secara automatiknya sudah layak untuk bertarung di Rio tahun depan,” katanya.



KOSMO

No comments:

Post a Comment