Monday, May 11, 2015

Enggan dabik dada




KUALA LUMPUR - Walaupun berjaya mencipta sejarah dengan merangkul kejuaraan compound wa­nita pada siri Memanah Piala Dunia buat kali pertama di Shanghai, kelmarin, namun Persatuan Memanah Kebangsaan (NAAM) enggan bercakap besar dengan meletakkan sasaran berlebihan dalam Sukan SEA di Singapura, bulan depan. 

Presidennya, Mohamad Yazid Yahya berkata, sasaran persatuan itu tidak merubah iaitu mengharapkan tiga emas dapat dibawa pulang, di mana dua emas disasarkan dalam acara recurve dan satu daripada compound wanita. 

Katanya, meskipun sasaran yang ditetapkan hanya tiga pingat emas, namun beliau percaya skuad memanah kebangsaan mampu menghadirkan lebih banyak kilauan emas andai berjaya menampilkan aksi konsisten.

Pada temasya di Myanmar dua tahun lalu, Malaysia pulang bersama dua pingat emas.
Kedua-dua emas disumbangkan menerusi acara recurve individu lelaki, Khairul Anuar Mohammad dan recurve berpasukan lelaki yang dibarisi Khairul Anuar, Atiq Bazil Bakri serta Haziq Kamaruddin.
“Kejohanan Piala Dunia di Shanghai sebenarnya merupakan aksi pemanas badan buat pemanah kebangsaan sebelum bertanding dalam Sukan SEA. 

“Kami percaya kecemerlangan itu mampu diteruskan di Singapura.
“Pada Sukan SEA edisi kali ini, pihak persatuan terus menaruh kepercayaan kepada muka-muka lama bagi menggalas cabaran negara.

“Mereka masih mampu menampilkan aksi cemerlang dalam beberapa siri kejohanan sebelum ini,” kata Yazid kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kelmarin, trio compound wa­nita negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Nor Rizah Ishak dan Saritha Cham Nong muncul juara Piala Dunia buat kali pertama selepas menundukkan pasukan No. 1 dunia dari Amerika Syarikat 220-219.

Mohamad Yazid memberitahu, selain mahu menjelmakan pingat emas buat kontinjen negara pada Sukan SEA, sasaran utama NAAM adalah untuk memastikan skuad recurve negara berjaya melayakkan diri ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2016 di Denmark, Ogos ini.

Bagi merealisasikan impian itu, beliau memberitahu, skuad kebangsaan perlu sekurang-kurangnya layak ke pusingan suku akhir Sukan SEA.

“Sukan SEA ini juga akan dijadikan medan untuk mempersiapkan skuad kebangsaan sebelum berdepan pusingan kelayakan Olimpik dan selepas itu kita akan memperbaiki segala kelemahan bagi menjadikan pasukan ini lebih mantap,” katanya.

Untuk persiapan terakhir, skuad memanah kebangsaan akan menghadiri kem latihan berpusat di Kompleks Sukan Negara, Taman Keramat, bermula minggu ini.


Acara dipertandingkan

• Recurve individu
(lelaki dan wanita)
• Recurve berpasukan
(lelaki, wanita dan campuran)
• Compound individu
(lelaki dan wanita)
• Compound berpasukan (lelaki, wanita dan campuran)

Venue

• Padang Kriket Kallang
Tarikh pertandingan
• 10-14 Jun

Pencapaian 2013
• Dua emas, tiga perak dan satu gangsa

Sasaran Singapura 2015
• Tiga emas

Atlet lelaki
• Atiq Bazil Bakri, Muhammad Ikram Joni, Haziq Kamaruddin, Lee Kin Lip, Muhammad Zaki Mahazan, Mohd. Juwaidi Mazuki, Khairul Anuar Mohammad, Zulfadhli Ruslan

Atlet wanita
• Nur Afisa Abdul Halil, Farah Amalina Azhar, Saritha Cham Nong, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Norhayati Al-Madinah Hashim, Nor Rizah Ishak,Loke Shin Hui



- UTUSAN

No comments:

Post a Comment