Thursday, May 21, 2015

456 Atlet Malaysia ke Sukan SEA lepasi Ujian Doping - Norza

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Sebanyak 456 daripada 510 atlet Malaysia ke Sukan SEA Singapura telah berjaya melepasi ujian doping.

Ketua Kontinjen negara bagi Sukan SEA Singapura, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata proses ujian doping itu dilakukan oleh Agensi AntiDoping Malaysia (ADAMAS) sejak awal tahun ini.

Baki atlet itu belum melakukan ujian berkenaan kerana mereka sedang menjalani latihan di luar negara, katanya.

"Atlet tersebut daripada sukan tenis, sepak takraw wanita, boling, biliard dan snuker. Mereka perlu melakukan ujian doping secepat mungkin iaitu sebelum kontinjen bertolak ke Singapura.

"Pemain bola sepak antara atlet terawal yang akan ke Singapura iaitu pada 27 Mei ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan perjumpaan bersama atlet daripada tujuh acara sukan di Bilik Jasmine Institut Sukan Negara (ISN) di sini hari ini.

Perjumpaan itu melibatkan atlet tenpin boling, mendayung, wushu, menembak, triathlon, bola jaring dan bola tampar wanita.

Dalam perkembangan lain, Norza berkata beberapa atlet juga dijangka tidak menyertai kem latihan akhir yang bermula 22-24 Mei ini di Hotel IOI Palm Garden Resort, Putrajaya.

"Sebelum ini saya sudah menyatakan kesemua atlet diwajibkan menyertai kem latihan akhir tetapi terdapat atlet acara tertentu yang sedang menyertai kejohanan di luar negara. Saya boleh terima pengecualian mereka.

"Bagi atlet yang sedang menjalani latihan dalam negara wajib sertai kem latihan akhir," katanya.

Malaysia akan menghantar 655 atlet dan 206 pegawai ke Sukan SEA dari 5 hingga 16 Jun ini. Kontinjen negara akan mengambil bahagian dalam 37 daripada 39 jenis sukan yang dipertandingkan dalam temasya dwitahunan itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment