Friday, April 24, 2015

Kim Swee lega fokus Sukan SEA



Kuala Lumpur: Jadual perlawanan bola sepak Sukan SEA yang bertembung dengan kelayakan Piala Dunia 2018 dan kelayakan Piala Asia 2019 Jun ini mungkin memberi sedikit kelebihan kepada jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee (gambar kiri).

Ketika pengendali negara itu sudah boleh memberikan fokus kepada persiapan pasukan, dua rakan sejawatnya yang bakal menjadi pencabar utama Kumpulan B Kiatisuk Senamuang dari Thailand dan Toshiya Miura (Vietnam) pula pening memikirkan kejohanan yang menjadi keutamaan mereka.
Kiatisuk dan Miura menggalas dua tugas serentak iaitu mengendalikan skuad B-23 dan skuad kebangsaan masing-masing. Bagaimanapun dengan jadual Sukan SEA dan pusingan kelayakan itu bertembung kemungkinan salah satu tugas itu terpaksa dilepaskan.

Thailand dan Myanmar yang memiliki ramai pemain muda yang bagus ketika muncul juara Piala AFF dan melepasi kelayakan AFC B-23 kemungkinan akan bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia 2018 dan kelayakan Piala Asia 2019 11 Jun ini.

“Bukan mudah untuk sesuatu pasukan menukar jurulatih pada saat-saat akhir tapi itu masalah mereka, saya lebih suka untuk beri fokus kepada persiapan pasukan saya sendiri.
“Bagi saya ia tidak memberi banyak kelebihan kepada Malaysia kerana Thailand dan Myanmar mempunyai ramai pemain muda yang bagus.

“Walaupun ada pemain muda mereka tidak dapat beraksi di Sukan SEA kerana bersama skuad kebangsaan, saya percaya ia tidak menjejaskan kekuatan mereka dan kami tetap perlu berhati-hati,” katanya.

Pada Sukan SEA Singapura, Malaysia diundi dalam kumpulan maut bersama juara bertahan Thailand, Vietnam, Laos, Brunei dan Timor Leste manakala Kumpulan B menyaksikan tuan rumah Singapura bakal bersaing dengan Indonesia, Myanmar, Kemboja dan Filipina.

Kim Swee yang diberikan tugas besar untuk merampas pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA Jakarta 2011 bakal memanggil 30 pemain bagi sesi latihan pusat terakhir pada 3 Mei depan sebelum memilih 20 pemain terbaik ke Singapura.



 Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment