Thursday, April 30, 2015

Karim tuntut Ballard kota janji


Kuala Lumpur: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim mahu semua atlet ke temasya Sukan SEA Jun ini terus berusaha melakukan yang terbaik mengembalikan kegemilangan sukan itu di peringkat Asia Tenggara. 

Biarpun mengetahui sukar kerana olahraga negara kini berdepan zaman kemerosotan, beliau menuntut peningkatan daripada atlet terutama mereka yang berada dalam kelompok pelapis dengan bantuan Pengarah Teknikal Robert J Ballard.
Karim berkata, Ballard perlu mengotakan janji kepada KOM meningkatkan kembali mutu olahraga negara. 

“Saya harap Ballard menjalankan tugasnya dengan baik dan buktikan apa yang dijanjikan kepada kami sebelum mendapatkan jawatan itu. Antaranya membawa pulang pingat. 

“Namun saya belum pasti berapa sasaran ditetapkannya kerana beberapa jurulatih tempatan memaklumkan kepada saya, tiada sasaran pingat emas dan hanya perlu membawa pulang pingat saja tanpa mengira warna.

“Saya serah kepada Ballard kerana dia sudah diberi tanggungjawab ini,” katanya.
Katanya, semua atlet perlu diberi layanan sama rata dan jangan ada pendekatan berat sebelah yang boleh membuatkan perkembangan atlet terbantut. 

Justeru Karim menyeru setiap atlet yang bertanding di Sukan SEA nanti menunjukkan peningkatan namun menegaskan beliau bukan berniat untuk memberi tekanan.

Setakat ini KOM menyenaraikan 25 atlet dengan 17 daripadanya layak secara merit, membabitkan 11 lelaki dan enam wanita manakala lapan disenaraikan di bawah Kategori B.


Oleh Aida Adilah Mat- Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment