Wednesday, April 8, 2015

Jujur atau singkir!



Kuala Lumpur: Berlaku jujur atau disingkir daripada kontinjen negara!

Begitulah amaran keras Chef de Mission (CDM) kontinjen Malaysia Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria terhadap ujian doping atlet kebangsaan sebelum menyertai Sukan SEA Singapura.

Beliau menganggap penyertaan atlet pada temasya sukan terbesar Asia Tenggara tanpa Perkampungan Sukan itu memerlukan langkah pencegahan dan persediaan serius.

“Ketiadaan Perkampungan Sukan biasa dilihat pada Sukan SEA menyebabkan beberapa langkah persediaan perlu diambil bagi memastikan kontinjen kita bebas daripada penggunaan bahan terlarang.
“Ujian doping itu akan merangkumi keseluruhan atlet Malaysia yang bertanding dalam 35 jenis sukan. Selain ujian air kencing yang sudah mula dilakukan sekarang, ujian darah juga akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Sukan SEA Ke-28 hanya tinggal 58 hari, bermula 5 hingga 16 Jun yang menyaksikan Malaysia menghantar 860 atlet, pengurus dan pegawai pasukan.

Beberapa langkah persediaan diambil setakat ini adalah menganjurkan seminar buat pengurus pasukan agar memahami tanggungjawab masing-masing.

Antaranya memberikan buku panduan kepada setiap anggota kontinjen bagi memberikan maklumat mengenai sains sukan perubatan dan anti doping.

“Peraturan ketat perlu kerana tidak mahu fokus kontinjen terjejas dengan isu doping seperti pernah berlaku di Sukan Asia Incheon tahun lalu.

“Lebih baik semua saringan dilakukan sebelum berlepas ke Singapura. Saya yakin berikutan langkah pengawasan itu, pengambilan bahan terlarang atlet dapat ditangani dengan lebih berkesan.

“Selain itu, pendidikan terhadap anti doping akan dipertingkatkan bagi memberi kesedaran dan meningkatkan mentaliti mereka agar menjadi atlet berintegriti.”

Beliau yang juga Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) berkata, portal Sukan SEA Singapura 2015 akan dilancarkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Dewan Perdana ISN Bukit Jalil, hari ini.



Esme Johari Wahab- Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment