Sunday, February 1, 2015

Sukan @Seagames2015 medan ketengah pelapis - @Khairykj


SEREMBAN: Penyertaan Malaysia pada Sukan SEA di Singapura Jun depan adalah lebih kepada mengetengahkan pelapis dan juga atlet pembangunan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Katanya jika Sukan SEA sebelum ini, Malaysia memberi fokus kepada pungutan pingat emas iaitu berapa banyak pingat emas boleh dimenangi, tetapi kali ini dasar itu sudah diubah.

"Jadi, kita menganggap Sukan SEA sebagai peringkat pembangunan dan kita hendak dedahkan pelapis kita. Oleh itu, kita tidak hanya boleh melihat kepada pingat emas semata-mata tetapi kita juga harus lihat kepada pingat secara keseluruhan dan juga prestasi pelapis kita.

"Cita-cita kita adalah lebih besar lagi seperti Sukan Asia dan Sukan Komanwel. Kalau setakat Sukan SEA, kita tidak akan sampai ke mana," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian program Fit Malaysia peringkat Negeri Sembilan 2015 oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan di sini, hari ini.

Mengenai persiapan kontinjen negara ke Sukan SEA Singapura Jun depan, beliau berkata setakat ini persiapan berjalan lancar dan ia sedang ditingkatkan.

Khairy berkata Malaysia akan menyertai 35 daripada 36 acara sukan yang akan dipertandingkan pada temasya sukan itu.

"Majlis Sukan Negara sedang memperhalusi acara dan juga atlet yang akan kita hantar ke Sukan SEA tersebut," katanya.

Sementara itu, katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri akan membuat pengumuman tarikh baharu sambutan Hari Sukan Negara 2015 tidak lama lagi memandangkan tarikh yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada November adalah tidak sesuai kerana keadaan cuaca tidak menentu.

Katanya Kabinet juga setuju bahawa Hari Sukan Negara ini akan menjadi acara tahunan.
"Kita tetapkan Hari Sukan Negara ini pada hari Sabtu pada tarikh yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri.

Hari Sukan Negara ini akan diadakan serentak di seluruh negara. Yang penting pada hari tersebut kita hendak melihat di seluruh negara dibanjiri dengan rakyat kita yang beriadah, bersukan dan yang terbabit dengan aktiviti kecergasan," katanya.

Menteri Besar pula mencadangkan untuk mengadakan hari sukan Negeri Sembilan sebulan sekali.
Mohamad berkata hari sukan negeri itu akan dapat membudayakan konsep hari sukan itu. 



- Bernama

No comments:

Post a Comment