Saturday, December 14, 2013

Vivian Ho-Woon Khe Wei Hadiah Pingat Emas Acara Beregu Wanita



NAYPYITAW, 14 Dis (Bernama) -- Gandingan Vivian Ho-Woon Khe Wei melakar kejutan apabila meraih pingat emas acara beregu wanita Sukan SEA ke-27 di Stadium Tertutup Wunna Theikdi di sini Sabtu.

Turun sebagai beregu bukan pilihan, beregu negara itu mempamerkan prestasi terpuji untuk mengenepikan pilihan utama, Nitya Krishinda Maheswari-Greysia Polii dari Indonesia dalam pertemuan tiga set.

Pada set pertama, Vivian Ho-Khe Wei menang 21-17 namun kegopohan pada set kedua menafikan impian mereka buat seketika apabila tumpas 18-21 di set kedua.

Keazaman yang meluap-luap untuk mencatat kemenangan itu terserlah pada set penentuan walaupun diberi tentangan sengit, apabila berjaya menamatkan pertarungan 21-17.

Pencapaian itu juga menyelamatkan skuad negara daripada pulang tanpa kilauan emas selepas kesemua pemain negara gagal mara ke perlawanan akhir acara masing-masing.

Kejayaan itu juga lebih manis selepas kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara beregu wanita menerusi gandingan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui pada edisi 2009 di Laos.

Ketika ditemui pemberita, Vivian berkata mereka benar-benar mahukan kemenangan tersebut selepas menampilkan prestasi tidak menentu sepanjang tahun ini.

"Prestasi kami tahun ini turun naik dan kejayaan meraih pingat emas amat bermakna. Saya amat berpuas hati dengan pencapaian ini," kata Vivian.

Dalam pada itu, Malaysia memperoleh tiga pingat gangsa menerusi dua beregu lelaki dan satu beregu campuran yang tewas kepada lawan masing-masing pada saingan separuh akhir, semalam.

Pingat gangsa tersebut menerusi gandingan Lim Khim Wah/Ow Yao Han dan Goh V Shem/Teo Kok Siang dalam acara beregu lelaki dan Tan Aik Quan/Lai Pei Jing dalam acara beregu campuran.

Daripada Elmi Rizal Elias -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment