Friday, December 13, 2013

Skuad Renang Raih Satu Perak Pada Hari Pertama Acara Renang

NAYPYITAW, 12 Dis (Bernama) -- Skuad renang negara mempamerkan aksi paling hambar selepas hanya mampu mengutip satu pingat perak pada hari pembukaan acara renang yang berlangsung di Pusat Akuatik Wunna Theikdi, di sini, Khamis.

Kuartet 4x200 meter gaya bebas yang dianggotai Daniel Bego, Lim Ching Hwang, Kevin Yeap Soon Choy dan Welson Sim Wee Sheng menyelamatkan maruah negara selepas mengutip perak dengan catatan masa 7 minit 27.32saat yang merupakan rekod baharu kebangsaan, mengatasi rekod terdahulu 7:31.44s yang dicatatkan pada Sukan Perpaduan Islam di Indonesia, September lepas.

Singapura meraih pingat emas menerusi catatan 7:26:67s yang merupakan rekod baharu temasya manakala Indonesia sekadar meraih pingat gangsa selepas mencatatkan 7:35:13s.

Daniel yang ditemui pemberita selepas acara berkenaan amat gembira dengan kejayaan yang dicatat meskipun terpaksa akur dengan kehebatan kuartet negara jiran itu yang membariskan peserta terkuat mereka.

"Ia merupakan satu perlumbaan yang hebat sehingga ke garisan penamat. Saya akui agak sedikit kecewa dengan keputusan ini namun saya keseluruhannya, saya berpuas hati dengan komitmen rakan sepasukan yang memberikan persembahan terbaik.

"Saya berharap mampu menyumbang pingat dalam acara 100m gaya bebas yang akan berlangsung esok," katanya yang masih belum pulih sepenuhnya daripada pembedahan bahu.

Dalam pada itu, dua perenang wanita negara, Erica Kong Chia Chia dan Nadia Adriana Redza Goh gagal menyaingi kehebatan perenang dari negara lain dalam acara 200m Rampaian Individu.

Erica mencatatkan 2:23:97s untuk berada di tangga ketujuh manakala Nadia menduduki tangga terakhir dengan catatan 2:26:07s.

Tern Jian Han pula sekadar menduduki tangga kelima acara 200m kuak lentang lelaki dengan catatan masa 2:07:89s.

Malaysia tidak mempunyai wakil dalam beberapa lagi acara akhir berikutan kegagalan perenang negara melepasi peringkat saringan yang berlangsung pada sebelah pagi iaitu 400m rampaian individu lelaki, 100m gaya bebas wanita, 200m kuak dada wanita dan 4x200m gaya bebas.

Sejumlah enam pingat emas bakal menjadi rebutan kontinjen yang bertanding pada hari kedua acara renang, esok iaitu 100m gaya bebas dan kuak dada lelaki, 100m kuak dada wanita, 400m gaya bebas wanita, 200m Rampaian Individu Lelaki dan 4x100m gaya bebas.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment