Tuesday, December 3, 2013

Skuad Floorball Negara Sasar Mara Ke Final

NAYPYITAW (Myanmar), 3 Dis (Bernama) -- Walaupun pingat bagi acara floorball tidak dikira dalam kutipan pingat Temasya Sukan SEA ke-27 edisi Myanmar kali ini, skuad floorball lelaki negara tetap optimis mahu merebut gelaran juara sukan demonstrasi itu.

Ini kali pertama sukan floorball, mirip sukan hoki ais, diperkenalkan di peringkat Sukan SEA dan akan turut dipertandingkan di Temasya Sukan SEA edisi Singapura dua tahun lagi.

Jurulatih skuad floorball negara, Rizal Razman berkata keyakinan itu diletakkan berdasarkan kejayaan yang pernah dicapai pasukan bimbingannya sebelum ini.

Kejayaan terbesar pernah diraih oleh skuad floorball negara ialah tempat ketiga pada Asia Pacific Floorball Championships di Singapura tahun 2006.

"Pasukan yang beraksi di Sukan SEA masih baru (Indonesia dan Myanmar) dalam sukan ini kecuali Singapura yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun, manakala kita mempunyai pengalaman 10 tahun," katanya kepada Bernama Selasa.

Hanya empat negara - Malaysia, Indonesia, Singapura dan Myanmar yang mengambil bahagian dalam acara ini.

Rizal berkata peluang Malaysia untuk mara ke peringkat akhir masih tinggi walaupun semalam tumpas 6-1 kepada Singapura pada perlawanan pertama yang berlangsung di Stadium Tertutup Wunna Theikdi C.

Beliau berkata peluang cerah menanti Malaysia jika mampu tewaskan pasukan tuan rumah di venue yang sama hari ini.

Dalam perkembangan lain, Rizal berkata pasukan menghadapi kesukaran untuk daftar masuk ke perkampungan atlet pada 30 Dis lalu kerana tidak mempunyai kad akreditasi.

"Kami datang ke sini tanpa bantuan sesiapa dan terpaksa menunggu lebih enam jam di luar perkampungan sukan," katanya.


Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment