Thursday, December 12, 2013

MSN Kecewa Mutu Pengadilan Berat Sebelah Dalam Acara Wushu

NAYPYITAW, 11 Dis (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) mempersoalkan mutu pengadilan acara wushu pada Sukan SEA ke-27 di sini apabila juara dunia dalam beberapa acara kalah kepada peserta bukan pilihan.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zolkples Embong mendakwa keputusan pengadilan acara wushu, yang menutup tirai semalam, dilihat tidak memihak kepada Malaysia dan agihan pingat seolah-olah diberikan secara sama rata kepada negara peserta.

"Saya rasa hairan kenapa semua negara sekurang-kurangnya dapat memperoleh satu pingat emas dan ia perlu dilihat kembali kerana jika ada negara yang memang bagus dalam acara ini mereka berhak untuk meraihnya dan bukanya pingat diagih secara rata," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata perkara ini bukan sengaja dibangkitkan oleh Malaysia tetapi negara-negara peserta turut mempersoalkan perkara yang sama.

Skuad wushu negara mengakhiri cabaran dengan meraih tiga pingat emas yang masing-masing disumbangkan oleh Bong Siong Lin, Phoon Eyin dan Tai Cheau Xuen.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid
  -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment