Tuesday, December 3, 2013

Kim Swee tidak mahu ada 'penumpang' dalam pasukan

Kuala Lumpur: "Saya tidak mahu ada penumpang dalam pasukan ini," kata Ketua Jurulatih Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee dalam membuat pemilihan barisan terbaik dalam misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA buat kali ketiga berturut-turut di Myanmar 2013.

Pengendali dari Melaka itu juga mengingatkan pemain yang pernah beraksi di Jakarta dua tahun lalu supaya tidak mengambil mudah betapa tempat mereka sudah terjamin.

Malah, beliau menegaskan aksi menentang kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu, esok menjadi medan terakhir untuk setiap pemain membuktikan kemampuan sebenar.

“Ini satu perlawanan yang begitu baik buat kami. Peluang buat mereka membuktikan sesuatu untuk terpilih ke Myanmar nanti.

Latihan lebih awal

“Semuanya terpulang kepada keinginan pemain itu sendiri. Kalau mereka tidak ambil peluang ini, mereka akan kena tinggal. Walaupun dua tahun lalu mereka ada dalam pasukan, itu bukan jaminan untuk sekali lagi terpilih,” katanya ketika dihubungi semalam.

Selain FC Ryukyu, Harimau Muda juga mengadakan perlawanan pemanas badan menjelang temasya itu dengan menentang Johor Darul Ta'zim II (JDT 11) yang berkesudahan seri 0-0, minggu lalu.
Sementara itu, Kim Swee mengambil inisiatif menjalani latihan lebih awal di bawah cuaca panas bagi membiasakan pemain dengan keadaan di Myanmar yang menyaksikan Malaysia dijadualkan beraksi pada sebelah petang.

“Kami cuba menjalani latihan pada sebelah petang lebih awal sebagai persediaan menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Myanmar nanti.

“Namun hari ini (semalam) cuaca tidak mengizinkan berikutan hujan. Tetapi itu tidak mematahkan semangat seluruh pasukan untuk cuba melakukan yang terbaik,” katanya.


Berita Harian

No comments:

Post a Comment