Tuesday, December 10, 2013

Ketiadaan Ketua Kontinjen Negara Ketika Majlis Penyampaian Pingat, Calar Imej Negara


NAYPYITAW, 9 Dis (Bernama) -- Imej negara sedikit tercalar apabila penganjur Sukan SEA ke-27 gagal mengesan ketua kontinjen negara Datuk Wira Amiruddin Embi untuk menyampaikan pingat pertama negara kepada atlet wushu Diana Bong Siong Lin, Sabtu lepas.

Pada hari tersebut, ketua kontinjen negara lain diberi penghormatan untuk menyampaikan pingat kepada atlet masing-masing.

Bagaimanapun keadaan sama wujud hari ini apabila kelibat Amiruddin masih belum kelihatan ketika atlet wushu Phoon Eyin meraih pingat ke-1,000 negara menerusi acara Qiangshu wanita di Stadium Tertutup Wunna Theikdi A dekat sini.

Hanya pemangku pengarah bahagian atlet dari Majlis Sukan Negara (MSN), Arrifin Mohd Ghani, yang mewakili negara, menyampaikan pingat kepada Phoon.

Bernama difahamkan bahawa Amiruddin hanya sampai ke Naypyitaw lewat petang ini.

Jurulatih kebangsaan, Yoong Thong Foong berkata episod ketiadaan ketua kontinjen negara itu hanya memalukan negara kerana semua orang mencari di manakah ketua kontinjen negara Sabtu lalu.

"Banyak malu bila penganjur tanya saya mana ketua kontinjen Malaysia sedangkan ketua kontinjen negara lain ada pada ketika itu.

"Lebih mengecewakan saya dan juga atlet apabila Amiruddin masih tidak kelihatan hari ini sedangkan sejak dari awal kita telah maklumkan kepada beliau yang kita sasar tiga pingat emas," katanya kepada pemberita.

Yoong berkata ketiadaan wakil negara menyebabkan beliau menyampaikan pingat pada hari itu.

"Perkara seperti ini tidak pernah berlaku di mana jurulatih yang sampaikan pingat," katanya lagi.

Setakat hari ini, skuad wushu negara telah meraih tiga pingat emas, lima pingat perak dan lima gangsa.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment