Monday, December 2, 2013

Hoon Dan Tan Raih Kejuaraan Terbuka Macau

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Beregu lelaki negara Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong meraih kejuaraan antarabangsa pertama mereka selepas muncul juara kejohanan badminton Grand Prix Emas Terbuka Macau yang berlangsung di Macau Forum.

Pada aksi final hari ini, pasangan muda negara itu yang baharu digandingkan awal tahun ini, mencipta kejutan dengan menundukkan pilihan utama kejohanan, Tsai Chia Hsin dan Lee Sheng Mu dari China menerusi kemenangan 21-16 dan 21-19, demikian menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia;www.bwfbadminton.org.

Dalam pada itu, kuasa badminton dunia iaitu China meraih dua gelaran menerusi acara beregu wanita dan campuran.

Pilihan keempat, Bao Yixin dan Tang Jinhua mengalahkan rakan senegara, Yu Xiaohan dan Huang Yaqiong dengan kemenangan 21-17 dan 21-15 dalam acara beregu wanita.

Huang yang bergandingan dengan Lu Kai dalam acara beregu campuran bagaimanapun diberikan tentangan sengit oleh pasangan Korea Selatan, Sol Kyu Choi dan Yoo Jung Chae sebelum mencatatkan kemenangan 17-21, 21-18 dan 21-17.

Son Wan Ho dari Korea Selatan pula mengungguli acara perseorangan lelaki selepas berjaya menewaskan wakil Taiwan, Hsuan Yi Hsueh dengan kemenangan 21-11 dan 21-15.

Wakil India, P.V Sindhu yang juga pilihan utama perseorangan wanita mengalahkan Li Michelle dari Kanada 21-15 dan 21-12.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment