Friday, December 6, 2013

Hoki wajib raih emas

Kuala Lumpur: Wajib menang pingat emas. Itu tekad pemain senior hoki negara Muhammad Amin Rahim pada temasya Sukan SEA Myanmar yang akan membuka tirainya 11 Disember ini.

Pakar pukulan sudut penalti negara yang dipanggil semula menyertai skuad selepas berdepan masalah kecederaan panjang sebelum ini berkata, tiada sebab skuad negara mensia-siakan peluang untuk menyumbang emas kepada kontinjen negara.

“Walaupun yakin untuk menyumbang emas tapi kami tidak mahu terlalu mengambil mudah pihak lawan.

“Yang penting ialah fokus pada setiap perlawanan dan tidak melakukan kesilapan mudah yang akan menyukarkan laluan kami ke saingan seterusnya,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Amin yang berusia 33 tahun berkata, secara peribadi dia mahu menjadikan penampilan terakhir pada temasya Sukan SEA dengan kejayaan bermakna.

“Saya tak mungkin akan beraksi pada Sukan SEA selepas ini kerana sudah berusia 35 tahun.
“Sebab itu saya mahu menyumbang sesuatu yang amat bermakna pada penampilan terakhir nanti.

“Jika kami mengikut apa yang sudah dirancang, bukan satu masalah untuk memenangi pingat emas,” katanya.
Skuad negara akan bertemu tuan rumah Myanmar pada perlawanan pertama 13 Disember ini.


Oleh Saiful Affendy Sapran - Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment