Friday, December 13, 2013

Gangsa dalam genggaman

NAY PYI TAW - Ada khabar gembira dan duka diterima dari gelanggang badminton Sukan SEA 2013 di Wunna Theikdi semalam. 

Beregu lelaki, wanita dan campuran berjaya melangkah ke separuh akhir, yang sekali gus menjanjikan sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam genggaman, namun cabaran perseorangan lelaki dan wanita Malaysia sudah berakhir.

Pujian harus diberikan kepada gandingan Goh V Shem-Teo Kok Siang yang mengejutkan pilihan kedua dari Thailand, Maneepong Jongjit-Nipitphon Puangpuapech 23-21, 14-21, 21-16 dalam tempoh 53 minit.

Berjaya mengikut jejak langkah mereka adalah satu lagi beregu lelaki, Lim Khim Wah-Ow Yao Han yang menewaskan pasangan Vietnam, Minh Bao-Nguyen Khang Huynh 22-20, 19-21, 21-12, diikuti beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang mengalahkan gandingan tuan rumah, Hlaing Mon Kyu-Htoo Ya Htoo 21-8, 21-8.

Turut mara ialah beregu campuran, Tan Aik Quan-Lai Pei Jing yang menang mudah 21-14, 21-16 ke atas Manh Thang Dao-Nhu Thao Pham, seterusnya mengesahkan bahawa empat pingat gangsa sudah berada dalam genggaman seandainya keempat-empat beregu tersebut gagal mara ke saingan akhir.

V Shem-Kok Siang akan menentang beregu Indonesia, Berry Angriawan-Ricky Karanda Suwardi, manakala Khim Wah-Yao Han pula akan menentang pilihan pertama dari Indonesia, Angga Pratama-Agung Saputro Ryan yang tidak perlu berhempas pulas kerana pasangan Thailand, Suppanyu Avihingsanon-Wannawat Ampunsuwan menarik diri.

Vivian-Khe Wei pula bakal berdepan pasangan Singapura, Sari Shinta Mulia-Yao Lei, manakala Aik Quan-Pei Jing akan menentang Jongjit-Sapsiree Taerattanachai, dan semua perlawanan separuh akhir akan berlangsung hari ini.

Berita kurang menggembirakan bagaimanapun diterima dalam saingan perseorangan lelaki selepas Iskandar Zulkarnain Zainuddin kalah kepada wakil Indonesia, Wisnu Yuli Prasetyo 10-21, 15-21, manakala perseorangan wanita, Yang Li Lian pula tewas kepada lawan dari negara yang sama Bellaetrix Manuputty 16-21, 15-21.

Menurut V Shem, dia akan cuba sedaya upaya untuk merampas semula pingat emas beregu lelaki yang kali terakhir dimenangi Chong Tan Fook-Lee Wan Wah pada Sukan SEA 2013 Vietnam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment