Tuesday, November 26, 2013

‘Semangat kami masih tinggi’


 Kuala Lumpur: Tahap keyakinan barisan pemain bawah 23 tahun negara masih menebal untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar yang memulakan saingan awal bulan depan walaupun kehilangan beberapa tonggak akibat kecederaan.

Menurut kapten Harimau Muda A, Mohd Irfan Fazail, walaupun skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu tidak dapat menggunakan khidmat pemain utama seperti Wan Zack Haikal Wan Noor, Gary Steven Robbat, Syahrul Azwari Ibrahim selain Junior Estdal dan Nik Shahrul Azim Abdul Halim yang bersaing dengan masa untuk pulih, situasi itu tidak akan melemahkan semangat mereka untuk melakar hatrik selepas kejayaan dilakar pada edisi 2009 dan 2011.

Bagi saya, ketiadaan ramai pemain yang berpengaruh ke Sukan SEA kerana kecederaan tidak bermakna peluang untuk kami tertutup.

“Kami perlu menonjolkan kekuatan skuad ini iaitu semangat berpasukan, bukannya secara individu dan apabila ia mampu dilaksanakan, adalah tidak mustahil untuk kami lakukan selain kehadiran beberapa pemain luar daripada Harimau Muda A untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan,” menurut perancang tengah berusia 22 tahun itu.

Pengalaman beberapa pemain yang sering bersama skuad senior turut menambah keyakinan Irfan menerusi Mohd Fadhli Shas, K Reuben dan Mohd Nazmi Faiz Mansor mampu membimbing rakan sepasukan lain ketika aksi sebenar di padang bagi mendapatkan keputusan yang positif.

Skuad negara tampil di Sukan SEA edisi ke-27 berada dalam Kumpulan A bersama-sama Singapura, Vietnam, Laos dan Brunei dengan Indonesia mengetuai Kumpulan B bersama-sama Myanmar, Thailand, Timor Leste dan Kemboja.

“Saingan peringkat kumpulan adalah seimbang dengan kami tidak boleh mengambil mudah setiap perlawanan. Setiap lawan perlu ditangani dengan corak permainan terbaik bagi mendapatkan keputusan yang baik.

“Kami sememangnya sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan ini. Tiada lagi masalah fokus kerana gangguan luar seperti yang dilaporkan sebelum ini dengan setiap pemain tampil bersemangat untuk menggalas cabaran negara,” katanya yang bakal tampil buat kali terakhir di Sukan SEA 2013.

Seramai 20 pemain akan dipilih Kim Swee mengharungi kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya sebelum ke Johor esok untuk kem motivasi dan aksi persahabatan menentang Johor Darul Takzim.


Oleh Azlan Muhammad Zain , Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment