Thursday, November 7, 2013

Saiz Kontinjen Malaysia Ke Myanmar Akan Diketahui Isnin Ini

 
PETALING JAYA, 6 Nov (Bernama) -- Jumlah bilangan atlet negara ke Sukan SEA ke-27 di Myanmar, bulan depan, akan dimuktamadkan semasa mesyuarat pengurus pasukan, Isnin ini, kata ketua kontinjen negara Datuk Wira Amiruddin Embi.

Beliau berkata jumlah atlet negara pada temasya dwitahunan itu tidak dapat dipastikan sebelum ini kerana Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) baru sahaja mengadakan Kejohanan Terbuka Malaysia bulan lepas.

"Kami harap dapat menentukan jumlah sebenar atlet negara ke Myanmar semasa mesyuarat pengurus pasukan nanti," katanya kepada pemberita pada majlis Inisiatif 'Milo Flame of Energy' oleh Nestle Malaysia di sini Rabu.

Kempen Inisiatif 'Milo Flame of Energy' adalah kesinambungan daripada kempen 'Milo Fuels for Champions' oleh Nestle Malaysia sebelum ini.

Ia bermatlamat meraih sokongan daripada 27 juta rakyat Malaysia kepada atlet negara yang bakal beraksi pada Sukan SEA Myanmar dari 11 hingga 22 Dis ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nestle dan Ketua Serantau Malaysia/Singapura, Alois Hofbauer tidak menolak kemungkinan syarikat itu memberi imbuhan sekiranya atlet negara mampu menuai lebih banyak pingat emas di Myanmar.

"Biar kita lihat apa yang mereka (atlet Malaysia) boleh mencapai (dalam Sukan SEA) sebelum kami menguruskan beberapa ganjaran menarik," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment