Monday, November 11, 2013

MSN terima keputusan Hup Wei

KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menerima keputusan atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei yang enggan beraksi pada temasya Sukan SEA di Myanmar bulan depan.

“Saya menerima dengan hati yang terbuka selepas Hup Wei memaklumkan dia tidak dapat meneruskan hasrat untuk beraksi pada Sukan SEA kerana kecederaan buku lali yang dialaminya.
“Jika Hup Wei tetap beraksi pada Kejohanan Olahraga Terbuka Pahang, sudah pasti ia akan memudaratkan kecederaannya.

“Ini kerana dia merupakan atlet yang masih muda dan khidmatnya masih diperlukan untuk jangka masa panjang,” kata Zolkples di Bukit Jalil semalam.
Ketiadaan Hup Wei menyaksikan Nauraj Singh dan Navin Raj akan menggantikan tempatnya pada temasya di Myanmar nanti.

Sebelum ini, seorang lagi atlet olahraga berpengalaman, Noraseela Khalid telah memaklumkan untuk tidak beraksi pada Sukan SEA di Myanmar.

Hup Wei dan Noraseela gagal melepasi syarat kelayakan Sukan SEA sehingga menyebabkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) membuat keputusan tidak menyenaraikan mereka ke Myanmar.
Noraseela, pemegang rekod kebangsaan acara 400 meter lari berpagar dengan catatan 56.02 saat (s) yang diciptanya pada 2006, hanya mampu merekodkan 60.54s, lebih buruk daripada masa 60.16s yang dibuat pada saringan kedua Sukan Olimpik 2012 di London.

Hup Wei yang memegang rekod kebangsaan 2.27 meter (m), hanya melakukan lompatan 2.10m pada Terbuka Malaysia baru-baru ini berbanding 2.20m oleh Nauraj dan Navin (2.15m).

Terdahulu, Zolkples meminta KOM mempertimbangkan semula keputusannya tidak menyenaraikan Noraseela dan Hup Wei ke Sukan SEA kerana percaya kedua-dua atlet berkenaan berpotensi menyumbangkan pingat emas.



Oleh MOHD NAJIY JEFRI
najiy.jefri@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment