Monday, November 11, 2013

Acara berkualiti Sukan SEA 2017

Khairy (barisan belakang, empat dari kiri) dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong (barisan belakang, lima dari kanan) meluangkan masa bersama wartawan-wartawan sukan yang mengambil bahagian dalam acara badminton Sukan Media-MSN 2013 di Bukit Jalil, semalam. - Bernama 
 
KUALA LUMPUR - Malaysia hanya menyenaraikan acara berkualiti pada Sukan SEA 2017 yang mana negara menjadi hos sukan dwi tahunan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memberi bayangan awal acara yang akan disenaraikan kelak kebanyakannya dipertandingkan pada Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.
Menurut Khairy, beliau telah meminta Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menentukan senarai muktamad acara yang akan dipertandingkan di Sukan SEA 2017.

"Prinsip kita setiap acara yang dipertandingkan ini turut terdapat di peringkat Sukan Asia dan Komanwel. Seterusnya ia melebihi dengan acara yang dipertandingkan di Sukan Olimpik kerana temasya tersebut hanya mengehadkan beberapa acara sahaja," katanya selepas merasmikan Sukan Media-MSN 2013 di Bukit Jalil, semalam.

Sebelum ini, MOM menjangkakan lebih separuh daripada acara yang dipertandingkan pada Sukan SEA 2017 melibatkan acara Sukan Olimpik.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi berkata, jangkaan itu berdasarkan pengalaman lepas ketika Malaysia menjadi tuan rumah temasya berkenaan pada 2001.

"Kita memegang semangat seperti Sukan Olimpik iaitu acara yang dipertandingkan nanti sudah pasti disertai majoriti negara Asia Tenggara yang akan mengambil bahagian," katanya.

Dalam pada itu, Khairy juga mengucapkan tahniah kepada MSN kerana berjaya menganjurkan Sukan Media-MSN buat kali keenam membabitkan acara bola sepak lima sebelah, boling, bola jaring dan juga badminton.

"Kejohanan ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara MSN dan media kerana sebelum ini kita sentiasa berjumpa di waktu kerja, sidang media dan sebagainya.

"Ini juga adalah cara terbaik untuk merapatkan pihak media dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta saya mengucapkan terima kasih kepada semua wartawan yang berjaya menggantikan baju kerja kepada baju sukan," katanya.

Tambahnya, semua yang terlibat dapat menunjukkan bakat masing-masing dan pada masa yang sama penghargaan juga harus diberikan kepada pihak penaja yang menjayakan kejohanan tersebut.

Kejohanan Sukan Media-MSN Ke-6 bermula semalam dengan pengamal media, staf MSN termasuk ketua pengarahnya, Datuk Seri Zolkples Embong turun gelanggang menyertai acara badminton.
Temasya ini akan bersambung Sabtu dan Ahad ini untuk acara boling, bola sepak dan juga bola jaring.

No comments:

Post a Comment