Wednesday, November 13, 2013

MOM tanggung atlet olahraga kategori A

KUALA LUMPUR - Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang sebelum ini bercadang menghantar lapan atlet mereka di bawah Kategori B ke Sukan SEA Myanmar boleh menarik nafas lega apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersetuju untuk menanggung kesemua atlet olahraga di bawah Kategori A.

Lapan atlet itu terdiri daripada dua acara kuartet 4x100 meter lelaki dan 4x400 meter wanita yang pada asalnya gagal melepasi catatan masa ditetapkan, namun diberi kelonggaran oleh MOM untuk bersama 33 atlet lain yang layak di bawah Kategori A.

Menurut Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi, mereka tidak berdepan sebarang kerumitan untuk meluluskan permohonan KOM setelah berbincang panjang dengan semua ahli jawatankuasa MOM.

''MOM tiada masalah menyenaraikan semua atlet olahraga di bawah Kategori A termasuk acara 4x100 meter lelaki dan 4x400 meter wanita walaupun pada asalnya di bawah Kategori B sebelum ini.
''Cuma kemungkinan daripada jumlah asal 41 atlet yang dicadangkan oleh KOM, kami mungkin akan bertindak menggugurkan dua atlet lelaki yang disenaraikan dalam acara 4x400 meter lelaki kerana jika mengikut senarai, terdapat tujuh atlet bertanding.

''Hanya seorang pelari simpanan dibenarkan, ini menjadikan lima pelari akan disenaraikan dalam acara 4x400 meter dan acara lain, tiada sebarang masalah," katanya selepas mesyuarat akhir senarai nama atlet ke Sukan SEA yang dipengerusikan oleh Presiden, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar.
Mengikut pecahan atlet yang akan bertanding ke Nay Pyi Taw, 14 daripadanya layak berdasarkan merit setelah melepasi catatan masa manakala enam lagi berdasarkan rekod di kalangan tiga terbaik dalam acara masing-masing di rantau Asia Tenggara dan sembilan lagi peserta adalah atlet pelapis yang dipersetujui dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Sebelum itu, Naib Presiden KOM, Datuk Paiman Abdul Karim, yang ditemui mengakui mereka kemungkinan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM50,000 bagi membawa lapan atlet terbabit ekoran kemungkinan KOM tidak akan meluluskan penyertaan mereka di bawah kategori A.
Dalam perkembangan berlainan, KOM bersetuju menaikkan sasaran awal dari lima kepada tujuh pingat emas di Sukan SEA Myanmar dengan Adi Aliffuddin Hussin dalam acara lontar peluru lelaki dan S. Kanathasan menjadi taruhan terbaharu.

''Setelah diteliti berdasarkan pencapaian terkini mereka pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, sasaran terkini KOM adalah tujuh pingat emas berbanding lima sebelum ini.

''Kanathasan dan Adi adalah senarai terbaru yang diyakini mampu meraih emas di sana nanti, kita harap mampu mengatasi pencapaian dua tahun lalu iaitu sebanyak lima pingat emas," katanya.

No comments:

Post a Comment