Tuesday, October 22, 2013

Malaysia tetap ke Sukan SEA

Amiruddin Embi (Kiri) memberi penerangan mengenai situasi terkini di Myanmar selepas mesyuarat majlis MOM di Wisma OCM, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/JEFFRI IRAN
 
KUALA LUMPUR - Kontinjen Malaysia tetap akan bertanding pada Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember ini.

Tidak ada sebab Malaysia hendak menarik diri daripada edisi ke-27 Temasya, itu penjelasan Ketua Kontinjen, Datuk Wira Amiruddin Embi selepas mesyuarat bersama wakil-wakil persatuan sukan dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam.

Menurut Amiruddin, keputusan itu dibuat atas semangat Sukan SEA, namun pada masa yang sama isu keselamatan tetap diberi perhatian serius kerana beliau enggan mengambil risiko terhadap atlet dan pegawai yang akan ke sana.

“Kita telah berbincang tentang isu keselamatan di rantau ini. Kebanyakan negara jiran kita mengalami pergolakan yang lebih kurang sama, penganjur (Myanmar) pula telah memberi jaminan keselamatan terbaik," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Jelasnya lagi, Malaysia sentiasa memantau keadaan di Myanmar dari semasa ke semasa dan pada masa yang sama, selain daripada disiplin, faktor keselamatan juga diberi penekanan kepada atlet serta pegawai yang bakal ke sana.

“Bagi memastikan mereka tidak terdedah dengan masalah keselamatan di Myanmar, kita memasukkan juga peraturan tatatertib dari aspek keselamatan. Tindakan ini perlu diambil bagi menjaga keselamatan pegawai dan atlet.

“Jika ia (masalah keselamatan) serius, bukan MOM sahaja, malah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta kerajaan sudah tentu akan membuat keputusan.

“Setakat ini tidak ada kemungkinan kita tidak akan pergi, hasil perbincangan kerajaan Myanmar telah memberi jaminan kepada kita," katanya lagi.

Malaysia dijangka menghantar 800 atlet dan pegawai pada temasya dwi tahunan itu.
Isu penyertaan Malaysia ke Sukan SEA timbul selepas berlaku insiden letupan bom di Yangoon yang juga menjadi lokasi penganjuran Sukan SEA, sehingga mengundang Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin membayangkan kesediaan Malaysia menarik diri atas faktor keselamatan atlet.
Dalam mesyuarat semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memberi taklimat mengenai isu keselamatan.

Menurut PDRM, pihak penganjur akan mengawal ketat kawasan tumpuan temasya tersebut.
MOM juga dijangka mendapat bantuan keselamatan untuk mengiringi atlet negara sepanjang berada di Myanmar.

No comments:

Post a Comment