Thursday, October 24, 2013

Kami tak paksa KOM: Zolkples

Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong akur dengan keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang tidak berganjak dengan pendirian hanya akan menghantar atlet berdasarkan merit ke Sukan SEA Myanmar.

Begitupun, beliau masih menyimpan sedikit harapan, badan induk itu menyenaraikan dua atlet senior Noraseela Khalid dan Lee Hup Wei pada pertemuan dengan KOM, Selasa depan.

“Saya tak nak paksa mereka. Kalau KOM kekal dengan keputusan mereka, saya tidak ada masalah,” katanya.
Zoklpes menerusi laporan akhbar semalam meminta KOM mempertimbangkan untuk melakukan rombakan terhadap senarai 39 atlet yang sudah dipilih ke Sukan SEA Myanmar dengan menyenaraikan ratu lari berpagar serta atlet lompat tinggi itu.

Kedua-duanya tiada dalam senarai 39 atlet ke Myanmar kerana gagal layak secara merit selepas beraksi hambar pada Kejohanan Olahraga Kebangsaan yang berakhir Ahad lalu.

Menerusi reaksi segera semalam, Presiden KOM Datuk Zainal Abidin Ahmad menegaskan hanya Majlis Olimpik Malaysia (MOM) boleh mengubah keputusan itu.
Zoklples bagaimanapun berkata, beliau hanya mahu KOM mendengar pandangan mereka tetapi tidak memaksa untuk mengubah keputusan yang dilakukan.

“Kami berhak menyuarakan pandangan. Saya harap mesyuarat pada minggu depan ada sedikit pertimbangan daripada KOM.
“Kita tak minta banyak, hanya tambahan satu dua nama saja,” katanya.

Sementara itu, Zolkples mencabar atlet menembak negara meraih lebih daripada dua pingat emas di Myanmar sekali gus mengatasi pencapaian dua tahun lalu di Indonesia.

Beliau yakin 14 penembak itu mampu mencapai sasaran meskipun tuan rumah mengurangkan jumlah acara pada temasya kali ini.

Skuad negara akan mengambil bahagian dalam enam acara yang dipertandingkan disertai oleh beberapa atlet ternama termasuk Bibiana Ng Pei Chin dan Nur Suryani Mohd Taibi.

“Saya percaya mereka mampu raih lebih daripada satu emas yang disasarkan kali ini.”



Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - Harian Metro 





No comments:

Post a Comment