Tuesday, September 24, 2013

‘Myanmar selamat’

Kuala Lumpur: Krisis keselamatan tidak sepatutnya menjadi isu yang dibangkitkan menjelang temasya Sukan SEA ke-27 di Myanmar, Disember ini.

Pengarah Bahagian Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) Rashid Yaakob berkata, kesediaan Myanmar menjadi tuan rumah temasya sukan itu membuktikan perubahan yang cuba dilakukan kerajaan negara itu.

“Kita perlu anggap Myanmar kini mengamalkan pendekatan lebih terbuka. Meskipun tidak banyak maklumat diperoleh, kesanggupan menjadi tuan rumah temasya dwitahunan ini membuktikan mereka sedia memastikan keselamatan semua peserta,” katanya.

Beliau hadir pada majlis penyampaian tajaan Lawatan Pra-Sukan SEA anjuran Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) ke Myanmar dari esok hingga Sabtu ini.

Lawatan itu ditaja Frenz United yang diwakili Presiden Datuk Nor Ehsan A Hamid, Menteri Besar Negeri Sembilan Corporation selain Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang diwakili Naib Presiden Yunus Ibrahim. Rashid turut menganggap lawatan itu antara langkah awal untuk menilai persiapan penganjur sekali gus membantu MSN mempersiapkan atlet menghadapi temasya sukan yang berlangsung di Naypyitaw dan Yangon dari 11 hingga 22 Disember.

“Lawatan ini mampu menyediakan maklumat seperti kemudahan logistik antara venue pertandingan, penginapan, medan latihan, perubatan dan penginapan diperlukan kontinjen Malaysia.

“Ini temasya pertama dianjur Myanmar dan maklumat terkini boleh membantu persiapan kontinjen negara.” Presiden SAM Mohd Khawari Isa berkata, lawatan itu diharap dapat memberi gambaran awal kemudahan untuk kumpulan media melaporkan perkembangan temasya hujung tahun itu.

“Maklumat diperoleh akan dikongsi dengan semua petugas media dan MSN demi melancarkan perjalanan semua pihak ketika temasya berlangsung,” katanya.


Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment