Thursday, May 16, 2013

Amiruddin sahut cabaran MOM

Kuala Lumpur: Datuk Wira Amiruddin Embi sedia menyahut cabaran mengetuai kontinjen negara ke Sukan SEA Myanmar, Disember ini selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kelmarin bersetuju memilih Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU) itu sebagai Chef de Mission (CDM).
Satu-satunya nama yang dicadangkan untuk menggalas tugas berat itu, Amiruddin yakin mampu menggalas tugas diamanahkan dengan baik, terutama memastikan kontinjen negara memperoleh keputusan lebih baik berbanding edisi sebelum ini.

“Pertama sekali terima kasih kepada MOM kerana memilih dan memberi kepercayaan kepada saya untuk menggalas tugas sebagai CDM.

“Ia tanggungjawab besar kerana pada temasya yang mempertandingkan pelbagai jenis sukan ini, jangkaan orang ramai pasti mahukan keputusan lebih baik berbanding sebelumnya. “Bagi saya tidak mustahil untuk kita memperoleh kutipan pingat lebih baik asalkan setiap atlet dan pegawai mempunyai semangat dan disiplin tinggi untuk mengharumkan nama negara,” katanya.

Amiruddin berkata, setiap atlet negara juga perlu mencari kelemahan pada edisi sukan SEA di Indonesia dua tahun lalu supaya tidak diulangi pada saingan di Myanmar.

Presiden MOM Tunku Imran Tuanku Ja’afar (gambar) ketika mengumumkan perlantikan Amiruddin sebagai ketua kontinjen negara kelmarin menganggap pemilihan Presiden MRU itu tepat kerana beliau berpengalaman luas dalam bidang keselamatan.
Myanmar kini berdepan pergolakan krisis perkauman membabitkan etnik Islam Rohingya dan penganut Buddha.




Oleh Saiful Affendy Sapran, ARENA - Harian Metro

No comments:

Post a Comment