Wednesday, May 15, 2013

MOM akhiri spekulasi

TEKA-TEKI mengenai siapa yang akan dilantik sebagai Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember depan akhirnya terjawab petang semalam.
Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, Datuk Wira Amiruddin Embi yang juga presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) merupakan satu-satunya nama yang dicalonkan bagi tugas berkenaan.

“Dalam mesyuarat ini, MOM sebulat suara melantik Amiruddin sebagai CDM ke Sukan SEA 2013 pada Disember depan.

“Pelantikan itu dipersetujui berdasarkan latar belakangnya yang tahu selok-belok tentang aspek keselamatan dan pengalaman itu mungkin berguna di Myanmar nanti,” jelas Kok Chi ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Amiruddin sebelum ini dilaporkan pernah menggalas tugas sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan dan Perak.

Pengalaman itu dilihat amat penting bagi mengawasi keselamatan atlet dan pegawai negara yang akan menyertai temasya dwitahunan itu tatkala Myanmar ketika ini berdepan isu pergolakan kaum yang serius.

Pelantikan Amiruddin itu juga dilihat melenyapkan terus khabar angin yang mengatakan Malaysia mungkin akan menarik diri daripada temasya Sukan SEA tersebut ekoran situasi tegang di Myanmar yang melibatkan pertumpahan darah di antara etnik muslim Rohingya dan penganut Budhha di sana.
Sementara itu, Kok Chi juga memberitahu, beberapa agenda lain turut dibincangkan dalam mesyuarat semalam, termasuk mengenai cara pemilihan bagi ahli majlis tertinggi MOM sempena mesyuarat agung tahunan (AGM) MOM, 22 Jun depan.

“Dalam mesyuarat tadi turut dibincangkan mengenai agenda mesyuarat agung tahunan (AGM) yang akan berlangsung 22 Jun nanti.

“Perbincangan itu melibatkan cara-cara perwakilan membuang undian dan beberapa perkara berkaitan lagi,” tambah Kok Chi yang disebut bakal mempertahankan jawatan yang disandangnya itu sejak 1992.
Pengumuman itu dibuat dalam satu Mesyuarat Lembaga MOM yang dipengerusikan presidennya, Tunku Imran Tuanku Ja’afar di Wisma MOM.

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment