Thursday, November 10, 2011

Venue di Palembang masih belum 'bersedia'


STADIUM Jakabaring yang akan dijadikan venue untuk majlis pembukaan Sukan SEA 2011 masih lagi dalam proses pembinaan.


PALEMBANG - Dua hari menjelang acara pembukaan Sukan SEA 2011 di Indonesia, Palembang yang menjadi salah satu venue selain Jakarta masih dihimpit pelbagai masalah dari segi persiapan.

Isu utama adalah soal penyelenggaraan apabila banyak gelanggang masih belum siap sepenuhnya seperti penyediaan kemudahan, kelewatan memasang peralatan asas dan pemilihan pegawai pertandingan.
Malah ketika tinjauan dibuat di pusat media di Kompleks Sukan Jakabaring dekat sini semalam, hanya ada kerusi dan meja sahaja disediakan manakala kemudahan serta susun atur peralatan lain masih belum ada.
Ditambah dengan ketibaan semakin ramai atlet dan pegawai 11 kontinjen negara yang bertanding, ia menambahkan lagi kesibukan dan kekusutan yang berlaku untuk menyediakan kemudahan dengan lebih cepat.

Ketua Jawatankuasa Penganjur (Inasoc) Sumatera Selatan, Muddai Madang sendiri mengakui jumlah tetamu yang datang meningkat daripada yang dijangkakan di mana kumpulan wartawan sahaja yang sepatutnya hanya berjumlah 1,200 orang kini bertambah kepada 3,000 orang.

Manakala tetamu kehormat juga meningkat menjadi 100 orang termasuk yang terbaharu Puteri Raja dari Thailand yang bakal menyaksikan acara pembukaan pada malam esok.

Berikutan jumlah tetamu yang tidak dijangka itu, ia telah menimbulkan masalah penginapan yang cukup terhad di Palembang ketika ini.

"Kami memang gembira ramai yang mahu datang ke sini tetapi agak sukar untuk menyediakan kemudahan penginapan kerana ia agak terhad," kata Muddai.

Bagi mengatasi masalah penginapan di saat akhir katanya, tiga buah kapal telah disediakan sebagai hotel terapung. Tiga kapal itu ialah kapal komersial iaitu KM Lambelu, KMV Tunas Wisesa dan kapal pengangkut tentera Indonesia, KRI Tanjung Nusanive.

Penyediaan kemudahan penginapan itu bagaimanapun tidak termasuk untuk tenaga kerja tempatan berjumlah 5,306 orang meliputi 4,270 sukarelawan, 300 pegawai pengiring dan 736 pekerja am.

Sementara itu, timbalan ketua kontinjen negara, Datuk Syed Mustafa Syed Ali berkata, masih banyak yang perlu dilakukan pihak penganjur.

Katanya, walaupun penganjur bertungkus lumus menyiapkan segala kemudahan, masih banyak kekurangan yang perlu diatasi segera bukan sahaja di gelanggang pertandingan tetapi juga di luar gelanggang pertandingan.


KOSMO

No comments:

Post a Comment