Thursday, November 10, 2011

Khe Wei-Vivian yakin bawa pulang pingat


IMBAS KEMBALI... Khe Wei (belakang) bersama pasangannya, Ng Hui Lin ketika menyumbangkan mata kemenangan buat skuad badminton negara dan sekaligus meraih pingat emas dalam acara berpasukan wanita pada Sukan SEA 2009 di Vientiane, Laos.


MUNGKIN agak berat buat beregu wanita negara, Woon Khe Wei-Vivian Hoo sekiranya diletakkan sasaran bagi meraih pingat emas pada Sukan SEA 2011 di Indonesia yang bakal membuka tirainya Jumaat ini.

Bagaimanapun, secara peribadi, Khe Wei berharap dia dan Vivian mampu menjelmakan sebutir pingat tanpa mengira warna buat kontinjen Malaysia pada temasya dwitahunan itu.

“Persiapan bagi menghadapi Sukan SEA kali ini semuanya berjalan dengan lancar. Saya dan Vivian juga sudah bersedia daripada semua aspek termasuk daripada segi mental dan fizikal.

“Saya tidak mahu memberi tekanan pada diri sendiri dengan meletakkan sebarang sasaran yang tinggi kerana bimbang ia tidak mampu dicapai.

“Namun, saya berharap untuk menyumbangkan pingat tidak kira apa warna sekalipun bagi acara berpasukan wanita dan beregu,” kata Khe Wei yang kini berusia 21 tahun.

Sebelum ini, kelibat Khe Wei-Vivian mula mencuri tumpuan ekoran kejayaan mereka merangkul geralan pada Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka Indonesia bulan lalu.

Aksi cemerlang itu diteruskan apabila mereka turut cemerlang mengungguli saingan Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Akhir Sirkit Kebangsaan 2011 juga pada bulan lalu.

Ekoran kejayaan itu, Khe Wei-Vivian menjadi taruhan terbaik bagi menghadirkan kilauan pingat buat skuad badminton negara di bumi Indonesia.

“Saya akui bahawa kejayaan-kejayaan itu sedikit sebanyak telah meningkatkan lagi tahap keyakinan kami bagi mengharungi Sukan SEA nanti.

“Begitupun, semua kejohanan mempunyai tekanan yang tersendiri.
“Jadi... biarlah kami fokus terhadap satu perlawanan demi satu perlawanan terlebih dahulu kerana ia lebih mudah buat kami untuk menentukan hala tuju kami pada Sukan SEA nanti,” jelas Khe Wei.

Kejayaan yang dilakarkan Khe Wei-Vivian lantas telah membuka mata banyak pihak yang merasakan bahawa beregu wanita negara itu mampu melangkah lebih jauh di pentas antarabangsa, apatah lagi tatkala usia mereka masih muda.

Malah, ada segelintir pihak menganggap pasangan tersebut kini mampu untuk menggantikan tempat Wong Pei Tty-Chin Eei Hui selaku beregu utama wanita negara sekiranya diperlukan.

Sebagai rekod, ini merupakan penampilan ketiga Khe Wei pada temasya Sukan SEA.
Lebih membanggakan dia turut memainkan watak penting ketika membantu skuad badminton wanita negara memenangi pingat emas dalam acara berpasukan pada edisi dua tahun lalu di Vientiane, Laos.



KOSMO

No comments:

Post a Comment