Tuesday, November 15, 2011

Terjun terus kuasai kolam renang


Leong Mun Yee (kiri) dan Traisy Vivien Tukiet membuat terjunan akhir untuk meraih pingat emas acara 10 meter papan anjal wanita seirama di Pusat Akuatik Jakabaring, Palembang, semalam.


PALEMBANG - Penerjun Malaysia berada dalam kelas tersendiri selepas menambah dua pingat emas di Pusat Akuatik Jakabaring, semalam. 

Pingat emas masing-masing hadir daripada acara 3 meter papan anjal seirama lelaki dan 10 meter platform seirama wanita, semalam.

Gandingan Yeoh Ken Nee-Bryan Nickson Lomas menjadi penyumbang kedua pingat emas dalam acara 3m papan anjal dengan 392.31 mata.

Pingat perak milik penerjun Filipina, Nino Carog Bedoya-Jaime Asok Villame selepas mencatat mata 342.99 manakala penerjun tuan rumah, Andriyan-Ahmad Syukran Jamj merangkul gangsa hasil catatan 332.40 mata.

Kedua-dua penerjun tersebut menganggap saingan di temasya dwitahunan ini adalah tempoh terbaik untuk mencari keserasian menjelang Kejohanan Terjun Piala Dunia di London, Februari tahun depan.
Menurut Bryan, terjunan yang mereka lakukan ini adalah biasa sahaja, tidak yang istimewa, ia sama seperti di dalam latihan dan fokus utama mereka adalah di London dalam masa yang sama mencari tiket ke Sukan Olimpik London 2012.


"Kami menganggap saingan di Palembang sangat penting untuk mengekalkan momentum pertandingan sebelum pulang semula ke tanah air," kata Bryan yang kini sudah meraih lima pingat emas sejak kali pertama menyertai Sukan SEA pada 2003.

Sementara itu, gandingan Leong Mun Yee-Traisy Vivian Tukiet berjaya menambah emas kedua negara dalam acara terjun selepas cemerlang dalam acara 10m platform berirama dengan mencatat 306.66 mata.

Pingat perak diraih penerjun tuan rumah, Sari Ambarwati-Della Dinarsari Harimurti yang mengumpul 268.62 mata manakala gandingan Myanmar, Sandar Nyunt Soe- Mar Hnin Hay meraih 179.73 mata. - Utusan

No comments:

Post a Comment