Wednesday, November 23, 2011

Sukan SEA XXVI Indonesia, sasaran atau ramalan

SAYA mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pemenang pingat terutamanya pemenang pingat emas di Sukan SEA XXVI yang baru lalu.

Lebih-lebih lagi kepada atlet veteran yang sudah lama mewakili negara dan terus memberi kemenangan setidak-tidaknya di peringkat Sukan SEA.

Nampak gayanya tenaga dan khidmat atlet veteran masih lagi diperlukan dan pingat yang mereka menangi masih lagi penting kepada jumlah pungutan kontinjen negara.

Ucapan setinggi tahniah kepada atlet yang pingat emas khususnya tetapi nama mereka tidak ada dalam senarai-senarai pemenang di Sukan SEA XXVI yang lalu.

Setinggi-tinggi tahniah juga kepada pasukan bola sepak kita yang berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun dahulu.

Kita dihadapkan dengan tiga set ramalan atau jangkaan pingat ke Sukan SEA iaitu 60 pingat emas yang diumumkan oleh ketua kontinjen hasil dari rumusan pengurus pasukan yang bertanding, 50-55 pingat emas ramalan dari Majlis Olimpik Malaysia dan 40-45 pingat emas ramalan dari Majlis Sukan Negara (MSN).
Saya berpendapat MSN yang mengumumkan ramalan pingatnya selepas ketua kontinjen dan MOM mengumumkan ramalan masing-masing adalah kurang strategik apatah lagi ramalan berkenaan lebih rendah daripada dua ramalan sebelumnya.

Oleh kerana ramalan berkenaan rendah, maka ia dilihat agak janggal dibandingkan dengan dua ramalan yang sebelumnya.

Sepatutnya MSN mengumumkan ramalannya lebih awal dan ini mungkin dapat mempengaruhi pengurus pasukan atau MOM dalam meletakkan ramalan masing-masing.

Dengan demikian ramalan tersebut tidak dianggap dengan berbagai-bagai tanggapan yang negatif. Ini pendapat saya, orang yang sudah bersara enam tahun dahulu.

Dalam hal ini ternyata ramalan dari Majlis Olimpik Malaysia menepati pencapaian pingat yang dimenangi oleh atlet-atlet kita di Jakarta dan di Palembang iaitu 59 emas, 50 perak dan 82 gangsa.
Pencapaian pingat emas ini kurang satu dan dua daripada rumusan pasukan yang mengambil bahagian sebagaimana yang dinyatakan oleh ketua kontijen.

Kali terakhir Sukan SEA diadakan di Indonesia adalah pada tahun 1997. Jangkaan atau ramalan pingat emas yang diletakkan pada kontinjen ialah sebanyak 50 iaitu satu angka yang tinggi pada masa itu.
Kritikan yang diterima oleh MSN ialah kerana meletakkan 50 pingat emas sebagai jangkaan oleh kerana dianggap tinggi dan ramai pihak yang berpendapat kontinjen tidak berdaya mencapainya.

Allahyarham Datuk Megat Junid yang merupakan ketua kontinjen memberitahu saya dan kawan-kawannya di Jakarta bahawa beliau akan menutup mukanya dengan surat khabar sekembalinya ke negara kita jika 50 pingat emas tidak dicapai.

Akhirnya kontijen kita memenangi 55 pingat emas 68 pingat perak dan 75 pingat gangsa menduduki tangga ketiga keseluruhannya dan merupakan pencapaian terbaik di Sukan SEA di luar Kuala Lumpur ketika itu.


BAHAGIAN 1 - UTUSAN

No comments:

Post a Comment