MESKIPUN tidak diundi bersama Thailand dan Indonesia, ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Jamaluddin Hassan tetap menganggap laluan berliku bakal dihadapi anak-anak buahnya pada Sukan SEA kali ini, lapor MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI.
Jamaluddin berkata, peluang untuk mara ke perlawanan akhir bukan sesuatu yang mudah kerana para pemain perlu berjuang berhabis-habisan bagi mengalahkan setiap lawan yang akan ditemui.
"Kita tidak mahu ambil mudah dengan undian tersebut. Apa yang penting kita perlu menang dan bersedia untuk berjumpa Thailand atau Indonesia di final.
"Mungkin ini juga merupakan satu strategi Indonesia untuk bertemu dengan kita atau menemukan kita bersama Thailand," kata Jamaluddin.
Bagi menangani sebarang kemungkinan, Jamaluddin berkata, beliau akan mempergiatkan lagi latihan bermula minggu ini.
"Setiap pemain perlu lebih tanggungjawab untuk mengembalikan imej dan maruah sepak takraw negara seterusnya menaikkan semula nama Malaysia.
"Ia seperti (sukan) bola sepak, apabila menang ramai anak muda akan bermain bola. Disebabkan itu, jika skuad negara berjaya memenangi acara sepak takraw, saya yakin perkara yang sama juga akan berlaku," tegasnya.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menjuarai acara sepak takraw pada temasya Sukan SEA adalah di Filipina pada tahun 2005 dengan menewaskan musuh tradisi, Thailand di final.
Begitupun, pada Sukan SEA 2009 di Laos, skuad negara gagal mempertahankan pingat emas tersebut.
"Kekalahan yang lepas akan menjadi cabaran kerana saya yakin Indonesia lebih rasa tertekan kerana mereka bermain di tempat sendiri," katanya.
Pada majlis undian yang diadakan di Hotel Jaya Karta, Daira Palembang, Sumatera minggu lalu, Malaysia diundi dalam Kumpu- lan B bagi acara antara regu lelaki dengan Laos, Singapura dan Vietnam, manakala juara bertahan, Thailand dan tuan rumah, Indone- sia membentuk Kumpulan A bersama Filipina dan Brunei.
Bagi acara berpasukan lelaki pula, hanya tiga pasukan bertanding iaitu Thailand, Malaysia dan Myanmar, sekali gus sudah menjamin mana-mana pasukan untuk sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa.
No comments:
Post a Comment