Thursday, November 17, 2011

Malaysia terus gegar Indonesia



KUAKAN hebat Siow Yi Ting (kanan) memberikan pingat emas 200m kuak dada wanita di Stadium Jakabaring, Palembang, semalam.



JAKARTA - Nama Sam Chong meniti di bibir kontinjen Malaysia pada hari keenam Sukan SEA XXVI apabila masih mampu menyumbang pingat emas biarpun sudah 10 tahun bersara dengan muncul juara snuker beregu lelaki bersama Thor Chuan Leong, semalam.

Pada usia 49 tahun, sentuhan Sam masih berbisa apabila gandingannya bersama Chuan Leong menumpaskan pasangan Singapura, Lim Chun Kiat-Ang Boon Chin 3-0 untuk emas pertama sukan biliard di Indonesia.
Kemenangan tidak diduga snuker itu menjadi salah satu penyumbang enam emas Malaysia semalam, yang menyaksikan terjun terus mendominasi kolam dengan menokok dua emas, manakala boling mula menggegar lorong di Ancol Jaya dengan merangkul kejuaraan berganda beregu lelaki dan wanita.

Turut berkongsi penghormatan menyumbang pingat emas pada hari keenam adalah ratu renang, Siow Yi Ting yang mempertahankan gelaran 200 meter kuak dada wanita, iaitu emas peribadi keduanya di Palembang selepas turut muncul juara 100m kuak dada kelmarin.

Terjun menjadi sukan pertama berjaya melepasi sasaran apabila menggondol tujuh pingat emas keseluruhan, lebih satu daripada enam emas yang disasarkan selepas tamat sukan itu semalam. Tambahan dua emas dihadiahkan Yeo Ken Nee dalam 3m papan anjal lelaki, yang juga emas peribadi ke-15 buatnya sepanjang karier Sukan SEA.

Pandelela Rinong meraih emas kedua Malaysia dalam acara kegemarannya, 10m platform wanita. Dia yang mengutip 342.90 mata menewaskan rakan senegara, Ling Kar Kam (260.85).

Selepas Sin Li Jane dinafikan emas dengan perbezaan dua pin kelmarin, boling bangkit menerusi gandingan Alex Liew-Adrian Ang dan Jacqueline Jenelee Sijore-Zandra Aziela Ibrahim Hakimi.
Kita turut meraih gangsa dalam kedua-dua saingan menerusi Muhd. Shafiq Ridhwan Abdul Malik-Zulmazran Zulkifli dan Dayang Khairuniza Dhiyana-Sharon Koh.

Malaysia enutup hari keenam dengan enam emas, dua perak dan lapan gangsa untuk menghuni tangga kelima pungutan pingat menerusi 28 emas, 25 perak dan 44 gangsa.
Hari ini, renang berpotensi menokok emas apabila Yi Ting turun untuk mempertahankan kejuaraan dalam 50m kuak dada.

Boling juga menjadi pertaruhan untuk mengutip emas menerusi trio lelaki dan wanita.
Acara paling mencuri tumpuan biarpun tidak menawarkan pingat pastinya bola sepak, yang menemukan Malaysia dan Indonesia di Gelora Bung Karno.
Turut menjadi tumpuan, sepak takraw berpasukan lelaki, di antara Malaysia dan Thailand. - Utusan

No comments:

Post a Comment