|
IMPIAN Harimau Muda untuk membaham Singapura tidak kesampaian.
Skuad bimbingan Ong Kim Swee itu memilih laluan sukar dalam misi mempertahankan pingat emas selepas sekadar seri tanpa jaringan dengan Singapura petang semalam.
Pada aksi pembuka tirai di Sukan SEA kali ke-26 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta itu, kedua-dua pasukan dilihat menampilkan corak permainan yang berhati-hati.
Di undi satu kumpulan bersama pasukan tuan rumah, Indonesia dan gergasi Asia Tenggara, Thailand dalam Kumpulan A, kegagalan skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu dianggap sebagai sesuatu yang sangat mengecewakan.
Ketiadaan Mahali Jasuli di bahagian bek kanan juga menimbulkan persoalan apabila Fandi Othman yang mengambil-alih posisi itu lebih gemar naik ke atas.
Selain itu, kesilapan Fandi yang tergelincir ketika mengejar bola pada minit ke-77 nyaris mengundang padah.
Meskipun skuad negara lebih dulu melancarkan serangan, Singapura memperoleh peluang terbaik pada minit ke-14 tetapi rembatan kaki kiri Fazli Ayub terus ke dakapan penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.
Skuad negara yang kembali melakukan asakan begitupun kecewa apabila percubaan kapten, Baddrol Bakhtiar berjaya ditepis penjaga gol Singapura, Izwan Mahmud pada minit ke-24.
Kejayaan Syahrul Azwari Ibrahim melepasi tiga pemain pertahanan Singapura juga tidak mendatangkan hasil.
Kelonggaran benteng pertahanan negara nyaris dihukum Fazli apabila mudah melepasi tiga pemain dalam kotak penalti sebelum rembatannya ditepis Khairul Fahmi pada minit ke-39.
Penyerang Harimau Muda, Ahmad Fakri Saraaini juga gagal menjaringkan gol pendahuluan apabila lambat menyambar bola muntah yang gagal ditangkap kemas Izwan hasil sepakan percuma Baddrol seminit sebelum babak pertama berakhir.
Pada babak kedua, Kim Swee membuat sedikit pertukaran apabila membawa masuk Irfan Fazail dan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria bagi menggantikan Shukor Jusoh dan Thamil Arasu.
Hasilnya, jentera serangan skuad negara dilihat kembali tajam menerusi beberapa pergerakan merbahaya dari bahagian sayap tetapi masih gagal menemui sentuhan penyudah.
Keputusan pengadil perlawanan, Hong Xin Duong dari Vietnam yang tidak memberikan sepakan penalti selepas Fandi dijatuhkan pada minit ke-55 sedikit mengecewakan.
Selain itu, sepakan percuma Baddrol yang diperoleh selepas Syahrul Azwari dikasari pada minit ke-73 turut berjaya ditepis keluar Izwan.
Harapan skuad negara untuk mengutip tiga mata berharga pada 10 minit terakhir juga tidak kesampaian apabila rembatan kaki kiri Baddrol sedikit sipi pada minit ke-82, sementara rembatan Wan Zaharul Nizam juga melambung tinggi ketika Izwan telah tertewas pada masa kecederaan.
Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment