KUALA LUMPUR - Malaysia mengorak langkah sulung dengan aksi hambar dan menempah laluan berliku apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Singapura dalam perlawanan sulung Kumpulan A bola sepak Sukan SEA XXVI Indonesia 2011, semalam.
Sekurang-kurangnya lapan peluang keemasan yang mampu menghasilkan gol dan tiga mata disia-siakan skuad bawah 23 tahun negara, sekalipun menguasai sebahagian besar perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta itu.
Sepakan tersasar ketua pasukan Baddrol Bakhtiar, kegopohan Syahrul Azwari Ibrahim, tindak balas lemah A. Thamil Arasu dan Ahmad Fakri Saarani cuma melengkapkan kegagalan pasukan untuk membalas dendam Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Dunia, Julai lalu.
Dengan cuma berkongsi satu mata, anak buah Ong Kim Swee kini menempah laluan berliku untuk melepasi peringkat Kumpulan A dan ke separuh akhir memandangkan dua lawan lebih getir, Thailand dan tuan rumah menanti selepas ini, selain Kemboja.
Singapura bagaimanapun lebih awal cuba menggugat kubu Harimau Muda dengan tolakan tinggi kaki kiri pemainnya, Fazli Ayob pada minit ke-12 yang sempat disambut kemas penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat.
Selepas Shukur Jusoh dikasari, sepakan bebas kencang sejauh 35 meter oleh Baddrol pula nyaris menembusi gawang Singapura, namun penjaga golnya, Izwan Mahbud pantas menepisnya keluar pada minit ke-23.
Sepuluh minit kemudian menyaksikan Syahrul Azwari pula membazirkan gerakan solonya yang sempat menggelecek untuk membolosi kubu Singapura apabila sepakan deras susulannya sekadar tinggi meliar.
Baddrol sekali lagi melakukan percubaan jarak jauh tetapi rembatan derasnya tersasar beberapa inci daripada tiang kiri gol Singapura pada minit ke-35, sebelum Fazli kembali menyaingi namun rembatan leretnya ditepis Khairul Fahmi, lima minit kemudian.
Seminit sebelum rehat, Ahmad Fakri dan Thamil Arasu pula gagal menyambar bola yang terlucut daripada tangkapan Izwan akibat sepakan bebas Baddrol terdahulu untuk sekali lagi menghampakan Harimau Muda dan Kim Swee.
Malaysia kemudian dinafikan sepakan penalti dan peluang kemenangan oleh pengadil dari Vietnam apabila Fandi Othman yang berjaya meloloskan diri, dijatuhkan pemain pertahanan Singapura dalam kotak penalti pada minit ke-55.
Percubaan Kim Swee memasukkan dua pemain gantian, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Izzaq Faris Ramlan bagi mengambil alih tempat Thamil dan Syahrul Azwari yang kian tumpul, turut gagal mengubah kedudukan akhir perlawanan .
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
No comments:
Post a Comment