|
SEANDAINYA ada mana-mana pihak yang berhasrat mahu 'mengintai' kekuatan skuad bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) negara pada temasya Sukan SEA kali ini, dipersilakan jangan malu dan usah segan.
Ini kerana, pengendali negara, Ong Kim Swee tidak mengamalkan dasar 'menutup pintu' sepanjang menjalani latihan di Jakarta dalam misi mempertahankan pingat emas di Laos dua tahun lalu.
Ia dilihat cukup berbeza berbanding pendekatan Kim Swee ketika aksi menentang Jepun bagi pusingan akhir kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia sebelum ini apabila beliau tidak membenarkan mana-mana pihak termasuk media Jepun mengintai kekuatan skuad negara.
Turun selaku juara bertahan, Kim Swee mengakui, ramai pihak yang mahu membongkar kekuatan pasukannya, terutamanya media Indonesia yang turut diundi dalam Kumpulan A.
"Setakat ini latihan kami berjalan seperti biasa, tiada sebarang provokasi dilakukan mana-mana pihak termasuk penyokong dan media Indonesia.
"Jika ada yang mahu melihat kami menjalani latihan, saya juga tidak mempunyai masalah kerana ujian sebenar adalah keputusan akhir di atas padang," kata Kim Swee kepada Kosmo! Ahad semasa dihubu- ngi di Jakarta semalam.
Harimau Muda bakal membuka tirai aksi Kumpulan A dengan menentang Singapura di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta esok (pukul 5 petang waktu Malaysia).
Aksi Kumpulan B telah membuka tirai Khamis lalu apabila naib juara, Vietnam me- newaskan Filipina 3-1, sementara Myanmar menang tipis 3-2 ke atas Laos.
Kim Swee bersama anak-anak buahnya yang menetap di Hotel Sultan sepanjang berada di Jakarta memberitahu, moral skuad negara ketika ini berada di tahap ter- baik menjelang pertemuan menentang Singapura nanti.
Buat masa ini katanya, latihan diadakan sekali sehari, sama ada pada sesi pagi atau- pun petang.
"Kesemua pemain dilihat begitu fokus menjalani latihan kecuali Irfan Fazail dan K. Gurusamy yang terpaksa berlatih sendirian dan dibantu jurulatih fizikal gara-gara masih belum cergas sepenuhnya," katanya.
Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment