Wednesday, November 16, 2011

Kawal emosi

SORAKAN lebih 80,000 penyokong Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno dijangka bakal memberi tekanan kepada skuad negara pada pertemuan paling ditunggu-tunggu dalam aksi terakhir kempen Kumpulan A bola sepak Sukan Sea esok.

Pertemuan dua musuh tradisi itu dilihat lebih kepada perebutan untuk muncul juara kumpulan memandangkan Indonesia tidak mampu lagi dipintas di tangga teratas manakala Malaysia hanya mengharapkan seri untuk menafikan Singapura ke separuh akhir.
 
Menyedari dengan kemungkinan aksi tegang yang bakal tercetus, jurulatih negara Ong Kim Swee menasihatkan barisan pemain mudanya supaya mengawal emosi dan tidak terpengaruh dengan provokasi yang dicetuskan penyokong Garuda.

Ini kerana beliau bimbang mereka menerima nasib sama seperti dialami Singapura yang kehilangan seorang pemain ketika kalah 0-2 di tangan Indonesia manakala Thailand terpaksa beraksi dengan sembilan pemain sebelum tumpas 1-3.

“Saya tidak mahu pemain terpengaruh dengan sebarang provokasi yang bakal mereka hadapi ketika menentang Indonesia.
“Pemain kita perlu mengawal emosi kerana kita dapat lihat apa yang terjadi kepada Singapura dan Thailand apabila masing-masing kehilangan pemain,” katanya.

Malah, Kim Swee mengharapkan anak buahnya tidak melakukan kesilapan khususnya enam pemain utama, Syahrul Azwari Ibrahim, Muhd Nazmi Faiz Mansor, Mahali Jasuli, Mohd Fadhli Shas, Mohamad Fandi Othman dan K Gurusamy yang kini sudah mengutip satu kad kuning.

Jika menerima satu lagi kad kuning, mereka bakal terlepas aksi separuh akhir jika Malaysia layak. Bagaimanapun jika pemain berkenaan bebas daripada layangan kad dalam aksi menentang Indonesia, kad kuning sebelum ini akan secara automatik digugurkan di peringkat separuh akhir.


MyMetro

No comments:

Post a Comment