Monday, November 14, 2011

Buruan emas bermula



KONTINJEN Malaysia melepasi pentas utama Stadium Jakabaring, Palembang pada perbarisan perasmian Sukan SEA XXVI Indonesia,



PALEMBANG – Biarpun diselubungi pelbagai kesulitan, terutama masalah gelanggang yang gagal disiapkan mengikut jadual, Sukan SEA XXVI Indonesia tetap dibuka dengan gemilang menerusi satu upacara pembukaan rasmi yang penuh tradisi dan warna warni di Stadium Sriwijaya, Kompleks Sukan Jakabaring di sini, semalam.

Upacara tersebut juga secara simbolik menandakan bermulanya cabaran 608 atlet Malaysia di Jakarta dan Palembang untuk memburu emas, sekali gus berusaha memenuhi sasaran 40 hingga 45 pingat emas yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN).

Kontinjen negara meletakkan harapan tinggi kepada beberapa acara untuk menjadi penyumbang utama emas pada edisi ke-26 temasya, antaranya berbasikal, karate, boling serta akuatik, manakala atlet berprofil tinggi dalam olahraga, memanah, pencak silat dan wusyu menjadi tumpuan untuk melengkapkan sasaran.

Antara atlet elit yang diletakkan harapan untuk menyinar pada temasya dwi tahunan itu adalah Khoo Cai Lin (renang), Pandelela Rinong (terjun), Roslinda Samsu, Noraseela Khalid, Lee Hup Wei (olahraga), Zandra Aziela Ibrahim Hakimi (boling) dan Fatehah Mustapa (berbasikal).

Dua tahun lepas Malaysia menamatkan saingan di Laos dengan menduduki tempat keempat keseluruhan selepas mengumpul 40 emas, 40 perak dan 59 gangsa, namun jika prestasi atlet lain berada pada tahap terbaik tidak mustahil sasaran 40 hingga 45 pingat emas boleh menjadi lebih baik, sekali gus mengatasi prestasi 2009.

Upacara pembukaan semalam dimulakan dengan acara pengibaran bendera Indonesia dan lagu
kebangsaan negara tuan rumah, Indonesia Raya, diikuti perarakan kereta berhias dan pertunjukkan kebudayaan pelbagai tema, termasuk kehadiran sebuah kapal gergasi merentasi padang.

Turut mencuri perhatian ialah kehadiran penyanyi Malaysia, Jaclyn Victor bergandingan dengan penyanyi popular Indonesia, Agnes Monica dan KC Conception dari Filipina menyanyikan lagu rasmi Sukan SEA Palembang - Jakarta 2011 bertajuk 'Kita Bisa'.

Sebaik tamat nyanyian, perarakan masuk atlet bermula dan kontinjen Malaysia diketuai oleh jaguh menembaknya, Bibiana Ng yang menjadi pembawa Jalur Gemilang. Acara perarakan diakhiri dengan kontinjen tuan rumah. Bendera Sukan SEA dibawa empat bekas atlet Indonesia iaitu Robby Darwis (bola sepak), Richard Sam Bera (renang), Pino Bahari (tinju) dan Emma Tahapari (olahraga).

Selepas acara membaca ikrar, kemuncak upacara pembukaan diteruskan dengan nyalaan obor Sukan SEA oleh legenda badminton Indonesia yang juga juara Olimpik 1992, Susi Susanti, sekali gus menandakan bermulanya temasya sukan terbesar di Asia Tenggara itu.

Upacara perasmian kemudian diteruskan dengan nyanyian lagu, United Rising yang membawa maksud negara Asia Tenggara, Malaysia, Indonesia, Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam boleh bersatu melalui sukan.

Kompleks Sukan Jakabaring bermandi cahaya apabila pertunjukkan bunga api mengakhiri upacara perasmian disaksikan lebih 40,000 penonton dan dirasmikan oleh Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta Menteri Sukan Indonesia, Andi Malarangeng.


– Utusan

No comments:

Post a Comment