Wednesday, November 16, 2011

Boling sumbang perak, gangsa

JAKARTA - Jangkaan dua pingat emas daripada acara boling semalam meleset, sebaliknya skuad lelaki dan wanita negara sekadar meraih masing-masing satu perak dan satu gangsa.
Sin Li Jane hanya terdaya melakukan hayunan perak dalam kategori individu wanita manakala Adrian Ang meraih gangsa individu lelaki.

Bagaimanapun, hanya dua mata memisahkan Li Jane dengan pemenang pingat emas acara wanita individu dari Singapura, Cherie Tan.
Kegagalan melakukan pair dalam permainan terakhir (keenam) menyaksikan Li Jane terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Selepas enam permainan, pemain berusia 20 tahun itu mencatatkan 1,284 jatuhan, ketinggalan dua pin di belakang Cherie.

Gangsa pula dimenangi seorang lagi pemain Singapura, Jazreel Tan dengan 1,283 jatuhan.
Sementara wakil negara yang lain tenggelam dengan Zandra Aziela Ibrahim Hakimi (1,207 pin) dan Jacqueline Sijore(1,204 pin) masing-masing berada di tempat ketujuh dan kelapan.

Tiga lagi pemain negara, Zatil Iman Abdul Ghani, Sharon Koh dan Dayang Khairuniza Dhiyana pula masing-masing tempat ke-20,21 dan 26 daripada 30 peserta. - Utusan

No comments:

Post a Comment