Tuesday, November 1, 2011

Atlit harus sedia hadapi tekanan


ZOLKPLES bersalam dengan atlit di Majlis Perasmian Perhimpunan Atlit Sukan SEA ke-26 di Hotel Palm Garden, Putrajaya, semalam.
ZOLKPLES bersalam dengan atlit di Majlis Perasmian Perhimpunan Atlit Sukan SEA ke-26 di Hotel Palm Garden, Putrajaya, semalam.

Harap wakil negara tidak hilang fokus di Jakarta, Palembang: Zolkples

ATLIT negara yang mengibarkan Jalur Gemilang pada Sukan SEA XXVI di Jakarta dan Palembang dari 11 hingga 22 November ini dinasihatkan sentiasa bersedia menghadapi segala masalah dan kesulitan yang akan berlaku semasa penganjuran temasya dwitahunan itu.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, berkata pihaknya tidak mahu sebarang masalah dan kesulitan yang berlaku itu dijadikan alasan seandainya mereka gagal menyinar dan memenangi pingat.

“Saya percaya beberapa masalah akan timbul termasuk pertukaran jadual pertandingan di saat akhir seperti yang dihadapi skuad bola sepak negara, tetapi saya harap atlit tidak hilang fokus dan bersedia menghadapinya,” katanya.

Bercakap ketika merasmikan Perhimpunan Atlit Fasa Akhir di Putrajaya semalam, Zolkples berkata, bagaimanapun pihaknya yakin atlit negara mampu menghadapi segala masalah dan kesulitan kerana sebahagian besar mereka pernah menyertai temasya dwitahunan itu.

“Penempatan atlit juga mungkin memberi masalah kerana ia berselerak membabitkan 18 hotel di Jakarta dan lapan hotel di Palembang. Jadi, kita harap pengurus dan jurulatih bekerjasama bagi memastikan atlit masing-masing berada dalam keadaan terbaik untuk bertanding,” katanya.

Sementara itu, Zolkples berkata, pihaknya bercadang membawa dua pegawai polis untuk mengiringi dan membantu aspek keselamatan kontinjen negara tetapi hingga hari ini belum mendapat maklum balas daripada Ketua Polis Negara.

Ketika ditanya mengenai jumlah sasaran pingat yang ditetapkan MSN, Zolkples berkata, pihaknya akan mengumumkannya pada majlis penyerahan Jalur Gemilang, Khamis ini.  



Oleh Hussain Said
hussain@bharian.com.my

No comments:

Post a Comment