KONGRES Tenpin Boling Malaysia (MTBC) menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya tiga pingat emas pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, November ini.
Setiausaha Agung MTBC, Sidney Tung berkata, harapan untuk meraih pingat disandarkan kepada pemain boling lelaki negara yang kebanyakannya mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa selain mempamerkan persembahan konsisten.
"Untuk kategori wanita, skuad kita mungkin mendapat saingan sengit daripada negara-negara seperti Indonesia, Singapura dan Filipina kerana skuad wanita mereka mempamerkan persembahan yang semakin meningkat," katanya.
Ditanya mengenai jumlah pemain negara dalam skuad boling, Sidney berkata, MTBC dijangka menghantar 12 daripada 16 pemain kebangsaan untuk menggalas cabaran di Indonesia kelak.
"Enam belas pemain itu kini sedang menjalani latihan pusat di Megalanes Endah Parade, Sri Petaling sejak dua minggu lepas sebagai persiapan menghadapi temasya dwi tahunan itu.
"Kita akan memutuskan senarai 12 pemain yang layak iaitu enam lelaki dan enam wanita selewat-lewatnya minggu depan bagi memastikan mereka mampu menyumbang pingat buat skuad negara," katanya.
Beliau berkata, bagi menyesuaikan diri dengan venue acara boling di Jakarta nanti, kesemua 12 pemain terpilih itu akan bertolak ke ibu negara Indonesia itu pada 7 November depan.
"Kita pergi awal untuk menyesuaikan diri selain mendapat tahu bahawa pihak penganjur menggunakan dua paten lorong iaitu long lanes dan short lanes," katanya.
Acara boling untuk Sukan SEA dijangka berlangsung dari 14 hingga 20 November di Pusat Boling Jaya Ancol, Jakarta.
KOSMO
No comments:
Post a Comment