Wednesday, October 19, 2011

Terjun lubuk emas akuatik ke Sukan SEA Indonesia

KUALA LUMPUR – Atlet terjun diletakkan harapan tinggi untuk memungut pingat emas sebanyak mungkin pada SEA Indonesia 2011 yang akan berlangsung dari 11 hingga 22 November ini.
Menurut Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, acara terjun bakal menjadi lubuk mengaut emas berikutan aksi konsisten atletnyam malah ada yang sudah menempah tempat ke Sukan Olimpik 2012 London.

“Bagi memantapkan lagi atlet terjun mereka akan dihantar menjalani latihan di Kunming, China bermula Jumaat ini selama tiga minggu sebelum kembali semula ke Malaysia dan menyertai kontinjen negara ke Palembang,” katanya ketika meninjau persiapan atlet akuatik semalam.
Jelasnya, akuatik akan menghantar 64 atlet yang dibahagikan kepada lima acara iaitu renang, terjun, renang berirama, renang terbuka dan polo air lelaki dan wanita.

“Setiap kali Sukan SEA akuatik tidak pernah mengecewakan negara dengan menjadi penyumbang terbesar pingat emas. Termasuk di dua temasya sebelum ini di Korat 2007 dan Laos 2009, bagaimanapun kita agak terkilan kerana perenang utama, Daniel Bego baru sahaja pulih daripada menjalani pembedahan bahu.
“Ini memberi kesukaran buatnya untuk meraih seberapa banyak pingat yang mungkin dan akan mengambil bahagian dalam satu atau dua acara sahaja, jadi kita mengharapkan atlet terjun untuk menyinar walaupun tidak mengambil bahagian kesemua lapan disiplin,” katanya.

Kata Zolkples, jika prestasi mantap dapat dipamerkan semua atlet dalam acara akuatik mereka mampu meraih lebih daripada 11 emas sambil mengharapkan atlet dari acara renang terbuka dan renang berirama mampu melakukan kejutan.

Akuatik berjaya meraih 15 pingat emas pada temasya di Laos dengan renang menyumbang sembilan emas manakala terjun pula enam emas.


Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment